PEMBABITANNYA dalam industri hiburan tanah air bermula sewaktu menyertai pertandingan ‘Bintang Kecil 2013’ ketika berusia sembilan tahun.

Selepas itu, rezeki Aqeesh Aleeya atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom lebih kepada bidang pengacaraan dan lakonan. 

Selepas menjuarai pertandingan bakat dalam talian ‘Bakat Ohsem Malaysia (BOM) 2017’ anjuran hurr.tv ketika berusia 13 tahun, Aqeesh telah mengeluarkan single sulung berjudul Aku Malu ciptaan DJ Fuzz dan Hez Hazmi. 

Pada bulan Mei tahun ini, Aqeesh mengeluarkan single kedua berjudul, Kau Ada, sebuah lagu duet bersama Momo, salah seorang anggota kumpulan Unknown yang popular dengan lagu Jangan Marah (Baby Sayang).

Pada bulan Ogos tahun ini, di bawah bimbingan Akim Ahmad, Aqeesh berjaya mara hingga minggu keenam program nyanyian realiti Terpaling Juara yang bersiaran di TV3. 

Melihatkan bakat dan kualiti vokal dimiliki anak kelahiran Selangor ini, Aqeesh yang kini berumur 18 tahun dilamar syarikat rakaman Nova Music untuk merakamkan single ketiga bertajuk Retak yang merupakan hasil ciptaan komposer Firdaus Rahmat manakala lirik ditulis bersama Arisz Ab Rahman dan Firdaus Rahmat. 

Menariknya, single ini dicipta khas untuk OST drama bersiri terbaru, Rindu Kasih terbitan P&D Pictures Sdn Bhd. 

Drama 15 episod yang dibintangi pelakon-pelakon utama, Umi Nazeera, Izzue Islam dan Nafiz Muaz ini bersiaran di slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

Menurut Aqeesh, lagu bergenre balada itu mempunyai keunikan tersendiri, kena dengan diri selain berbeza daripada dua single sebelumnya.

“Sebelum ini, saya mendapat panggilan daripada abang Lan Nova Music yang mengatakan ada satu lagu untuk saya. Lagu ini juga adalah lagu OST drama Rindu Kasih yang ditayangkan di slot Samarinda, TV3. 

“Dari awal mendengar demo lagi ini ia memang sedap. Ini single pertama saya dengan genre seperti ini. 

“Kemudian, kami berjumpa untuk berbincang berkenaan rakaman dan sebagainya. Alhamdulillah, tempoh rakaman pun tak ambil masa lama,” katanya.

Berkongsi lanjut, Aqeesh berkata, dia tidak berdepan kesukaran atau cabaran ketika merakamkan lagu Retak.

“Alhamdulillah, saya rasa proses merakamkan single baru ini semuanya agak mudah cuma saya perlu lebih menjiwai dalam menyanyikan lagu ini,” katanya.

Aqeesh berkata, tidak pernah timbul rasa ralat dan putus asa dalam diri biarpun perlu menunggu lama untuk muncul dengan single baharu.

Sebaliknya, pengalaman yang ditimba hasil daripada menyertai pertandingan nyanyian dijadikan batu loncatan untuk terus memperbaiki diri.

“Saya sebenarnya sudah hampir 10 tahun berada dalam Industri ini. Saya bermula dengan pertandingan Bintang Kecil sewaktu masih berumur 9 tahun. 

“Selepas itu banyak lagi pertandingan yang saya sertai dan dalam masa sama pernah mengacarakan sebuah program. Saya juga seorang pelakon drama dan filem.

“Biarpun agak lambat untuk berada pada tahap ini, bagi saya itu semuanya bergantung kepada usia dan juga rezeki. Macam single pertama dan kedua, saya keluarkan lagu yang bersesuaian dengan umur ketika itu iaitu genre rancak. 

“Untuk umur sekarang ini, saya rasa dah sesuai untuk bawa lagu bergenre balada dan lagi berat. 

“Dalam masa sama, saya juga ada menyertai banyak pertandingan dan ada menang dan kalah. Bagi saya itu semua rezeki dan saya ambil itu sebagai penguat untuk terus bertahan dalam industri muzik,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan dalam kalangan artis baru ketika ini, Aqeesh menyifatkan setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

“Saya percaya semua artis dan penyanyi baharu mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi, saya tak berpegang sangat kepada konsep bersaing. 

“Saya rasa kami semua nak memeriahkan lagi industri seni tanah air dengan cara masing-masing. Selain itu, semua bergantung kepada rezeki,” jelasnya.

Pastinya, Aqeesh menaruh harapan tinggi agar lagu Retak itu diterima baik. 

Malah, dia berharap lagu yang menjadi OST drama di TV3 itu sedikit sebanyak dapat membantu lagu itu lebih dikenali.

“Harapan saya agar lagu ini dapat diterima oleh semua peringkat umur dan pendengar dapat memahami pengajaran yang ada di sebalik lagu Retak ini,” katanya.