PELAKON Fatin Afeefa menimbulkan teka-teki ramai selepas dia berkongsi video sesi menyarungkan cincin di jari manis bersama dua wanita tanpa menunjukkan wajah.
Hantaran bintang filem Tentang Bulan di Instagram storynya itu telah menimbulkan spekulasi warganet yang mendakwa dia sudah dirisik atau sudah bergelar tunangan orang dalam sebuah majlis.
Malah menerusi perkongsian video lain di Instagram story, Fatin yang memakai baju berwarna krim dilihat sedang ‘miming’ lagu After Last Night nyanyian asal oleh Bruno Mars.
Apa yang menjadi perhatian adalah sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya sekaligus menguatkan lagi dakwaan bahawa ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini sudah ‘disunting’ seseorang.
Walau bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, Fatin masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung status terbaharunya.
Terdahulu, tular sekeping foto menunjukkan Fatin sedang berjalan berpegangan tangan dengan seorang lelaki di sebuah majlis.
Rata-rata mengatakan, jejaka terbabit merupakan kekasih hatinya.
Sebelum ini, nama Fatin hangat diperkataakan selepas saling berbalah dengan bekas suaminya, pelakon Adam Shahz mengenai isu nafkah anak.
Berikutan kemelut terbabit, menerusi siaran langsung di media sosial, Fatin memberitahu tidak akan lagi terbabit dalam dunia seni kerana enggan anak-anak terkesan dengan kontroversi dirinya.
Untuk rekod, Fatin dan Adam bernikah pada 2013 dan bercerai selepas empat tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ivy Herra Sophia yang kini berusia tujuh tahun.
Menerusi perkahwinan pertama, Fatin memiliki seorang anak lelaki, Adam Aisy Arrian.

