SAARANI MOHAMAD/Gambar BERNAMA

DATUK Seri Saarani Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu pada Isnin lepas, mengumumkan portfolio kesemua 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik semalam.

Beliau berkata senarai berkenaan membariskan gabungan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda termasuk mereka yang pernah menjadi Exco dari Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan mesyuarat buat kali pertama bagi membincang dan memutuskan beberapa perkara penting hari ini.

“Antaranya, mesyuarat bersetuju supaya Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan diadakan pada 19 Dis bagi pembentangan Bajet 2023,” katanya pada sidang media mengumumkan barisan Exco itu hari ini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dari BN sekali lagi sebagai Speaker DUN Perak.

Baca artikel berkaitan: 10 ADUN angkat sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan dari BN itu berkata persidangan Dewan Undangan Negeri akan dimulakan dengan upacara angkat sumpah pelantikan Speaker DUN diikuti Titah Ucapan Pembukaan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada hari berikutnya.

“Kemudian perbahasan menjunjung kasih atas titah dan ada penggulungan diikuti pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti serta RUU berkenaan bajet dan perbekalan,” katanya.

Mengenai portfolio terbabit, Saarani berkata selain menerajui kerajaan negeri, beliau turut memegang Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).

Berikut ialah senarai penuh Exco Perak dan portfolio masing-masing:

  1. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan -Datuk Mohd Zolkafly Harun
  2. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam – Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
  3. Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India – A. Sivanesan
  4. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor – Loh Sze Yee
  5. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan – Salbiah Mohamed
  6. Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau – Teh Kok Lim
  7. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan – Sandrea Ng Shy Ching
  8. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan – Khairudin Abu Hanipah
  9. Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO – Mohd Azlan Helmi Helmi
  10. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina – Woo Kah Leong

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram