manusia menuju kehancuran
Sekadar gambar hiasan

Kecanggihan teknologi pada hari ini sebenarnya sudah melepasi tahap yang kita tidak jangkakan. Perkembangan yang begitu pantas juga menyebabkan berlaku satu perubahan besar pada gaya hidup manusia. Segala bentuk perhubungan yang tradisional tidak lagi dianggap relevan pada masa kini, sebut sahaja apa yang diingini, semuanya di hujung jari.

Keadaan ini bukan sahaja berlaku pada keinginan mendapatkan sesuatu seperti jual beli pakaian, makanan, perhubungan dengan kawan dan sebagainya, tetapi teknologi yang sedang pesat seperti teknologi komunikasi ini turut menyumbang ke arah kemerosotan perhubungan antara manusia.

Hal sedemikian berlaku kerana mereka terutama remaja lebih leka menghabiskan masa melayan gajet dan aplikasi-aplikasi canggih yang terkandung di dalamnya jika berkelapangan. Keadaan itu sebenarnya menjadikan mereka lebih selesa berada dalam sendirian sentiasa, ini disebabkan mereka merasakan, kawan tidak lagi diperlukan dan lebih baik berada dalam dunia sendiri daripada disakiti.

Namun begitu, dalam konteks bersahabat, walau secanggih mana pun kehidupan yang dilalui, walau sehebat mana pun menggunakan alat ciptaan manusia, walau sepantas mana teknologi menyusur masuk dalam jiwa, tetapi persahabatan era zaman seperti Rasulullah tetap perlu dijadikan pilihan.

Ini kerana, menurut Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Zulkiple Abd Ghani, persahabatan yang baik adalah melibatkan sentuhan, bersemuka dan mempunyai nada percakapan agar berbekas di hati. Malah katanya, gajet tidak boleh dijadikan sahabat kerana gajet bukan berperasaan, tetapi yang kesannya adalah kita, menjadi hanyut dan ketagih dengan alat teknologi itu.

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan, orang yang sering menghabiskan masa dengan gajet dan alam siber, dianggap cedera jiwanya. Jika sebelum ini kita sering mendengar cedera tubuh, tetapi sebenarnya jiwa yang tercedera lebih teruk, kerana melibatkan emosi. Implikasinya perhubungan habluminannas semakin berkurang dan kebanyakan remaja hanyut dalam dunianya yang tersendiri tanpa pedulikan manusia di sekeliling.

“Walaupun perkara ini nampak ringan dan sering dibincangkan sebelum ini, namun ianya tetap juga tidak diberi perhatian yang serius oleh golongan yang terlibat. Sehinggakan kadang-kadang mereka tidak menyedari yang mereka sebenarnya telah ketagih alam siber.

“Kalau dalam kontek persahabatan, golongan muda pada hari ini tidak boleh memikirkan bahawa kawan tidak lagi diperlukan, cukuplah ada gajet.

Tidak! Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana persahabatan seumpama Rasulullah s.a.w. praktikkan adalah relevan tidak mengenal zaman, malah sampai bila-bila.”

Manusia sedang sakit

Dr Zulkiple juga menegaskan bahawa manusia perlu sedar, persahabatan yang baik ialah yang terlahir dari niat yang baik seterusnya sampai ke hati. Bukan sewenang-wenangnya boleh menjalinkan persahabatan, apatah lagi dengan menjadikan peralatan dan teknologi sebagai sahabat.

Namun, katanya dia langsung tidak menolak sebarang kemajuan yang kita sedang dan bakal kecapi hari ini. Keadaan itu sebenarnya tidak salah, tetapi yang salahnya adalah kita manusia yang menggunakannnya dengan tidak ke arah kebaikan dan sering menyalah gunakan teknologi tersebut.

“Walaupun perubahan gaya hidup yang besar telah berlaku, tetapi kita sebagai pengguna harus pandai mengendali dan menguruskannya. Sepatutnya kita sebagai pengguna yang harus mengawal teknologi seperti media sosial, tetapi perkara sebaliknya yang berlaku pada hari ini.

“Justeru, pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk menyekat dan mengawal keadaan ini dari menjadi lebih teruk harus juga mengambil peluang dari kecanggihan teknologi sebagai satu method pengajaran dan kaunseling kepada pengguna.”

Dr. Zulkiple juga menerangkan bahawa kita memerlukan lebih ramai ahli psikologi siber yang bertindak sebagai ‘pengajar’ atau pemberi nasihat kepada pengguna melalui alam siber. Antara contoh yang diberikan olehnya ialah, ahli psikologi siber ini boleh memuat naik video-video yang menerangkan tentang bahayanya ketagih alam siber di laman sosial agar video itu boleh ditonton dan dikongsi oleh para pengguna. Semestinya video yang dibuat itu mestilah menarik dan kena dengan jiwa anak muda sekarang.

“Para psikologi atau pihak berwajib tidak lagi boleh menggunakan teknik lama, iaitu menunggu di bilik agar ‘pelanggan’ datang menceritakan masalah, tetapi mereka yang perlu turun padang mencari ‘pelanggan’ yang berpotensi untuk dipulihkan.” Wallahu a’lam

_________________________________