JENAMA barangan milik artis dan selebriti media sosial di platform e-dagang menunjukkan peningkatan di sebalik landskap platform itu yang dilihat semakin tepu, kata satu kajian yang dijalankan Shopee.
Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, dalam kajian terbaru ‘Shopee Super Awards 2022 Milestones’, platform yang disediakan pihaknya berjaya memacu ekonomi kreatif Malaysia dengan menyokong bakat tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka seiring dengan teknologi terkini.
Katanya, kajian itu mendapati bahawa jenama milik artis tempatan dan selebriti media sosial di Shopee mempunyai pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 59 peratus (%) dari Oktober 2021 hingga September 2022 berbanding tahun sebelumnya.
“Shopee Celebrity Squad telah dilancarkan pada tahun 2018 dan memberikan akses kepada 97 produk milik artis tempatan dan selebriti media sosial.
“Ia termasuk produk artis terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa, dan Zoey Rahman,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, memandangkan sektor peruncitan kini dibuka selepas tiada lagi sekatan pandemik, komuniti artis dan selebriti media sosial di Shopee telah memperbaharui taktik pemasaran mereka.
“Jenama Shopee Celebrity Squad mempunyai kira-kira 80% kadar penyertaan dalam kempen besar-besaran sepanjang tahun.
“Sepanjang tempoh kempen satu daripada empat pengguna pengguna menuntut baucar semasa kempem berlangsung,” katanya.

Sehubungan itu, Kenneth berharap pihaknya dapat terus memperkasakan Shopee Celebrity Squad dengan menghubungkan mereka kepada pengguna baharu dalam komuniti dalam talian Shopee.

