reaksi nabi terhadap lawak jenaka

Hadis lucu yang diceritakan oleh Ummu Salama, katanya,

“Abu Bakar hendak bermusafir dan dia memilih Nu’ayman ibn Amr dan Suwaybit ibn Harmala dan beberapa sahabat lagi untuk mengiringi perjalanannya. Ketika itu Rasulullah s.a.w masih hidup dan Baginda mengarahkan Suwaybit menjaga bekalan makanan.

Nu’ayman berkata pada Suwaybit, “Suwaybit, tolonglah aku lapar. Bolehkah kamu berikan aku sedikit makanan?” Suwaybit menjawab,

“Tidak, sehingga Abu Bakar memberikan keizinan barulah kamu boleh menyentuh makanan itu.”

Nu’ayman menjadi sedih dengan jawapan itu dan berazam untuk mengenakan kembali sahabatnya itu.

Lalu Nu’ayman mendapat satu akal apabila melihat sekumpulan lelaki. Lantas dia bersuara kepada sekumpulan lelaki yang baru saja melintas di hadapannya. Kepada sekumpulan lelaki itu dia bersuara,

“Hey lihat ini! Saya ada seorang hamba dan saya mahu menjualnya tapi dia sangat bijak. Dia bangsa Arab dan akan menjerit ‘saya merdeka’  apabila kamu membawanya pergi. Jadi kamu mahukannya atau tidak?”

Kemudian lelaki itu menjawab, “Ya, sudah pasti aku mahukannya.

Nu’ayman membalas, “Baiklah, aku akan menjualnya kepada kamu dengan harga 10 dirham.”

Lalu, Nu’ayman membawa lelaki itu kepada Suwaybit, “Itulah orangnya.” Lelaki itu pun menangkap Suwaybit. Lalu Suwaybit menjerit, “Aku merdeka, aku merdeka!”

Lelaki itu menjawab, “Ya, ya kami tahu, tuan kamu sudah memberitahu kami bahawa kamu akan mengatakan demikian.”

Nu’ayman hanya duduk memerhati tanpa berkata sepatah pun. Apabila Abu Bakar kembali mendapatkan Nu’ayman serta para sahabat, dia bertanya, “Apa yang terjadi dengan Suwaybit?”

Mereka memberitahu Abu Bakar apa yang telah berlaku sebenarnya. Nu’ayman tidak bermaksud untuk menjadikan Suwaybit hamba selamanya, sekadar untuk memberikan pengajaran kepadanya. Kemudian mereka pergi kepada lelaki tadi lalu Abu Bakar memberikan kembali wang mereka dan membebaskan Suwaybit.

Hal itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. lalu Baginda dan para sahabat yang mendengar cerita itu ketawa. Jenaka itu tidak habis di situ sebaliknya menjadi modal untuk Rasulullah s.a.w. dan sahabat ketawa sepanjang tahun apabila diceritakan semula.

Kah! Kah! Ketawalah tapi biar yang kecil  

Ada beberapa perkara menarik yang boleh dipungut daripada kisah Nu’ayman. Kisah-kisah itu memberi gambaran kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat manusia biasa berhak untuk merasa kegembiraan dan ketawa.

Tapi, sudah tentu sesuai pada tempatnya. Benar, jenaka Nu’ayman nampak ekstrem tapi pada masa yang sama dia tahu di mana sempadannya. Rasulullah s.a.w. pula boleh menerima usikan dan jenaka Nu’ayam begitu para sahabat sentiasa ternanti-nanti kehadirannya yang menceriakan keadaan.

Ia menghantar isyarat kepada kita bahawa Islam tidak menghalang untuk senyum, ketawa dan merasai keseronokan jenaka. Malah Rasulullah s.a.w. juga selalu berjenaka dengan sahabat tapi sudah tentulah gurauan Baginda kena pada tempatnya dan tidak pernah menipu semasa berjenaka.

Ketawa menjadi terapi yang baik untuk tubuh

Nu’ayman Ibn Amr seorang yang istimewa turut serta dalam peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan Aqaba. Seorang sahabat salih yang cintanya hanya kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. hingga ditegah Umar untuk memakinya oleh Nabi s.a.w.

Sesungguhnya manusia itu boleh berubah atas kehendak Allah. Al-Dhahabi berkata, “Apabila fitnah melanda keluarga Khalifah Ali, Nu’ayman tidak mampu lagi untuk tersenyum apa lagi ketawa.”

Sudah tidak ada lawak jenaka dan usikannya yang menghiburkan. Jadi, ia juga menghantar pesan kepada kita bahawa beliau seorang yang peka pada persekitarannya.

Tidak salah untuk ketawa juga tiada halangan berjenaka tapi kena sesuai pada tempat dan situasinya. Senyum dan ketawa kecil itu banyak manfaatnya. Maka ia tidak dilarang dalam Islam tapi jangan keterlaluan hingga pecah berdekah-dekah.

Ingatkan pada sesuatu yang datangnya daripada Rasulullah s.a.w. “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (HR Ahmad dan at-Tarmizi)

Membantu elak lupa

Manakala daripada sudut sains, sekumpulan penyelidik berjaya membuktikan ketawa kecil atau senyuman boleh mengelakkan cepat lupa. Penyelidik dari Loma Linda University, Carlifornia Amerika Syarikat, Dr. Gurinder Singh Bains berpendapat, terlalu stres boleh memberikan kesan buruk kepada tubuh, mod dan minda.

Semakin berusia maka makin banyak masalah kesihatan yang bertamu termasuk tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.  

Kajian terbaru yang dilakukan membuktikan, hormon stres cortisol terlalu banyak dirembeskan boleh merosakkan neuron pada otak dan secara tidak langsung menyebabkan cepat lupa dan keupayaan untuk mempelajari sesuatu yang baru menjadi semakin lambat.

Menurutnya untuk mengurangkan rembesan hormon itu mudah saja, hanya perlu senyum dan ketawa kecil untuk seketika. Dr.Bains, maksudkan ketawa kecil bukannya ketawa terbahak-bahak yang boleh memperlahankan proses cepat lupa dan menguatkan ingatan jangka pendek. Maksudnya bila ketawa maka stres akan berkurangan, kurang cortisol dan lambat jadi pelupa.

“Ketawa kecil seketika dengan rakan-rakan atau menonton lawak jenaka selama 20 minit setiap hari sudah memadai untuk melegakan stres atau tekanan. Mulakan dengan senyuman dan ketawa kecil setiap hari. Hebat! Kerana ia boleh memperbaiki kualiti kehidupan. Jadi jangan ada rasa ragu-ragu untuk peruntukkan sedikit masa menonton cerita jenaka kerana ia berfaedah” Katanya.

Pendapat itu disokong oleh Penyelidik Humor Psychoneuroimmunology, Dr. Lee Berk katanya,

“Ia mudah saja, apabila anda kurang stres maka ingatan semakin kuat dan sihat. Humor boleh mengurangkan rembesan hormon stres yang merosakkan seperti cortisol yang mengurangkan tahap memori neuron hipokampus, mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan peredaran darah dan mengawal mod.

Ketawa kecil atau keseronokan kecil dengan humor akan meningkatkan rembesan hormon endorphin dan dopamine dalam otak, ia mengekalkan perasaan seronok, dihargai dan kepuasan.

Kesan positif itu memberi manfaat kepada perubahan neurochemical dan ia akan menyebabkan sistem imun berfungsi dengan baik.  Lebih hebat lagi, ketawa kecil boleh mengubah gelombang aktiviti otak kepada apa yang kami panggil frekuensi gelombang gamma, yang mana ia menguatkan memori dan mengembalikan daya ingatan. Sudah tentu ketawa kecil itu bukan saja penawar terbaik, juga penting untuk menguatkan memori bagi menjadikan kualiti hidup lebih baik.” jelasnya.

Jadi, ketawalah sebagaimana Rasulullah s.a.w. ketawa. Disebut dalam hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin al-Harits, dia menceritakan,

“Tidaklah ketawa Rasulullah s.a.w. melainkan dengan senyuman sahaja.” (HR at-tarmizi).

Rasulullah s.a.w. lebih banyak senyum daripada ketawa. Ada kalanya Nabi s.a.w. ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya namun ia jarang-jarang berlaku. Biasanya Baginda hanya mengukirkan senyuman apabila ada perkara yang lucu.

Dan, berlawak jenakalah sebagaimana jenakanya Nu’ayman yang tidak pernah berdusta dalam gurauannya. Sabda Rasulullah s.a.w.

“Kecelakaanlah untuk orang yang bertutur lalu ia berdusta semata-mata untuk menjadikan orang ramai ketawa. Kecelakaanlah untuknya, kecelakaanlah untuknya.” (HR Imam Ahmad). Wallahu a’lam

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram