BINTANG Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mengukir momen manis apabila majalah antarabangsa, Time mengumumkan dirinya sebagai Ikon Tahun 2022.
Artis yang berasal dari Ipoh, Perak itu dipilih atas sumbangan besarnya kepada industri perfileman Asia dan global sejak berdekad lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, Time menyifatkan Yeoh sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong menerusi penglibatannya dalam pelbagai filem yang turut menonjolkan sisi berbezanya yang berani melakukan akis lagak ngeri.
Time turut ‘membongkar’ pencapaian-pencapaian aktres berusia 60 tahun itu yang membuat penampilan sulung sebagai ‘Gadis Bond’ menerusi filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997.
Malah, Yeoh turut cemerlang memamaparkan dalam naskhah Crouching Tiger Hidden Dragon, Crazy Rich Asians dan Shang-Chi and The Legend of The Rings.
Terbaharu, filem pecah panggung Everything Everywhere All at Once yang ditayangkan Mac lalu telah meletakkan Yeoh dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.
Melakonkan watak seorang isteri dan ibu, karya indie arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu dianggap sebagai momen yang paling dinantikan dan ada yang tidak sabar melihat Yeoh mengenggam trofi Oscar.
Dalam entri sama, ia turut berkongsi temu bual Yeoh bersama @lucyfeld.
“Saya ada memikirkannya. Bukan diri sendiri sahaja, saya fikir seluruh komuniti Asia turut memikirkannya. Mereka datang kepada saya dan beritahu, kamu melakukan ini untuk kami,” katanya.
Yeoh turut berkongsi hantaran yang dimuat naik Time di Instagram miliknya dan meluahkan penghargaan kepada majalah berkenaan atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya.
Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Untuk info, karier seni Yeoh bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World 1983 ketika berusia 20 tahun, seterusnya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK) pada tahun sama.
Selepas itu, Yeoh muncul juara Miss International Tourism Quest sekaligus menjadi pembuka rezeki dalam dunia lakonan apabila dia terpilih menjayakan projek komersial bersama Jackie Chan hingga bakatnya dilihat penerbit filem Hong Kong, D&B Films.
Antara filem lain lakonan Yeoh adalah Memoirs of A Geisha (2005), Reign of Assassins (2010), Kung Fu Panda 2 (2011) dan The Lady (2011).
Tahun ini, Yeoh turut tampil dalam filem The School Of Good and Evil, Minions: The Rise Of Gru, Paws of Fury: the Legend Of Hank dan terbaharu Avatar: The Way Of Water.

