KOMPOSER berbakat besar, Ezra Kong diumumkan sebagai penerima Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada malam Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2022.
Kemenangan komposer lagu Anta Permana dan Jampi itu mengenepikan saingan terdekat, Datuk M Nasir dan Zai Hamzah.
Syarikat rakaman, MVM Production Sdn Bhd menamatkan dominasi Luncai Emas Sdn Bhd apabila mengungguli kategori Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak, tahun ini.
Universal Music Publishing Sdn Bhd mengekalkan kemenangan menerusi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi.
Penyanyi dan komposer berbakat besar, Naim Daniel dipilih sebagai penerima kategori Komposer Muda Berpotensi.
Bagi menghargai bakti dan sumbangan terhadap perkembangan industri muzik tanah air, MACP memilih Seniman Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta.
Lagu Hutang nyanyian kumpulan Floor 88 ciptaan dan lirik oleh Zai Hamzah mengungguli kategori Lagu Melayu Dendangan Terbanyak.
Sementara itu, lagu A Lai Si Jia Hai Wan dendangan Firdhaus, ciptaan dan penulis lirik oleh Firdhaus dan Li Kang Ning memenangi kategori Lagu Cina Dendangan Terbaik.
Bagi kategori Lagu Tamil Dendangan Terbanyak dimenangi Ennai Kollathey nyanyian Ganesh dan Kumaresh, ciptaan dan lirik oleh Ztish serta Yuwaji.
Kategori Lagu Inggeris Dendangan Terbanyak menjadi milik lagu Crush kolaborasi Yuna dan Usher. Ia adalah karya ciptaan dan lirik oleh Yuna bersama Raymond Usher, Robinson Maclean, Warfield dan Brian Keith.
Lagu Faded dendangan Alan Walker ciptaan dan lirik oleh Alan, Jasper Borgen, Anders Froeen dan Gunnar Greve merangkul kategori Lagu Luar Negara Dendangan Terbanyak.
Manakala kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi disandang Tak Tahu Malu dendangan Atmosfera, ciptaan dan lirik oleh Hezron Rayner.
Majlis Anugerah MACP sempena sambutan ke-32 turut diserikan dengan persembahan Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Siti Fairuz, Yantzen, Ezad Lazim, Syamel, Ernie Zakri, Afieq Syazwan dan Naqiu.
SUMBER: Berita Harian

