MENYEDARI gambar dirinya yang berpelukan dengan Fuad Rahman mendapat kecaman dan kutukan di media sosial, penyanyi Tom tampil membuat permohonan maaf.

Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram, 36, mengakui baginya, berpelukan dengan lelaki adalah perkara biasa.

“Saya minta maaf fasal gambar saya yang dah tersebar berpeluk mesra dengan lelaki. Tak sengaja.

“Sebelum ini bagi saya berpelukan dengan lelaki itu adalah perkara biasa dan normal. 

“Saya dah lama hidup dalam keadaan terbuka macam itu.

“Kehidupan saya mungkin tak macam orang lain yang tahu halal dan haram,” katanya.

Tambah Tom yang juga bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), sebelum ini dia tidak mengambil berat soal haram dan haram selain jahil berkenaan hukum agama.

Malah, Tom turut membuat pendedahan mengenai kehidupannya yang sebelum ini terlalu terbuka termasuklah pergaulan antara wanita dan lelaki tanpa menjaga batas.

“Salah saya tak ambil berat perkara itu sebelum ini… maaf sangat-sangat. Pada yang kurang senang tengok gambar dan video Tom sebelum ini, saya nak minta maaf.

“Saya sangat tak perasan benda macam itu tak dibolehkan sebagai orang Islam. Terus terang ilmu agama saya tak seberapa. Saya tak ambil berat sangat bab agama sebelum ini.

“Hidup saya sebelum ini terlalu terbuka antara lelaki dan perempuan. Saya jahil bab-bab ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tom menyuarakan hasrat mempelajari agama Islam untuk memperbaiki diri agar tidak lagi keliru tentang hukum hakam.

“Saya pun teringin nak belajar bab-bab agama kerana selalu keliru tentang halal haram. 

“Bab-bab agama ni saya tak berapa tahu sangat. Doakan saya supaya lebih tahu bab-bab halal haram selepas ini. Saya minta maaf,” katanya.

Tom dan Fuad mengakui kini kembali bercinta selepas sama-sama menyertai program realiti GV9, baru-baru ini.

Mereka sebenarnya sudah menjalinkan istimewa itu pada 2005 sebelum putus pada 2010.

Untuk rekod, Fuad pernah berkahwin sebanyak dua kali dan memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama yang berusia 16 dan 18 tahun.

Manakala Tom pula pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali dan mempunyai tiga orang anak.