Tiada royalti untuk robot: Hanya karya sentuhan manusia layak terima perlindungan hak cipta – MACP

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

DALAM mendepani arus teknologi yang semakin mencabar keaslian seni, Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad melakar sejarah dengan memperkenalkan Garis Panduan Mengenai Kecerdasan Buatan (AI) MACP.

Langkah drastik itu diambil bagi memastikan ekosistem muzik tanah air tidak “dijajah” oleh teknologi, sekali gus menjamin hak dan pampasan yang adil hanya buat pencipta manusia.

MACP menerusi garis panduan tersebut menetapkan pendirian tegas agar hak cipta adalah hak eksklusif yang lahir daripada daya kreatif manusia.

leh itu, sebarang karya yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya dibantu oleh AI tidak akan diiktiraf untuk pendaftaran royalti.

Pengenalan garis panduan ini bukan bertujuan menyekat kemajuan teknologi, tetapi sebagai benteng pelindung kepada nilai estetika dan usaha keras pencipta muzik.

MACP menegaskan intipati sesebuah karya muzik terletak pada emosi dan kreativiti manusia yang tidak boleh ditukar ganti oleh algoritma.

“Hanya karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh pencipta manusia sahaja yang layak didaftarkan dengan MACP dan menerima pembayaran royalti.

“Kami tidak mengiktiraf sebarang karya yang dihasilkan secara automatik atau melalui bantuan AI sebagai karya yang layak mendapat perlindungan di bawah pengurusan kami,” tegas kenyataan rasmi MACP.

Langkah MACP ini dilihat sangat bertepatan dengan usaha Kerajaan Malaysia yang sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen telah menekankan kepentingan etika dan akauntabiliti dalam penggunaan AI bagi memastikan undang-undang sedia ada terus relevan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali turut menyokong naratif ini dengan menyatakan Akta Hak Cipta 1987 hanya memberi perlindungan kepada “orang yang berkelayakan” di mana karya tersebut mestilah hasil daripada usaha manusia yang mencukupi.

Bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi, MACP telah mengemas kini portal ahli mereka, myKarya dengan memperkenalkan mekanisme pengesahan mandatori.

Setiap ahli yang ingin mendaftarkan karya baharu wajib membuat deklarasi bahawa lagu atau lirik tersebut adalah asli dan bebas daripada elemen janaan AI.

MACP turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi sistem pendaftaran tersebut.

“Sebarang deklarasi palsu yang melibatkan karya janaan AI akan berhadapan dengan tindakan tegas.

“Ini termasuklah pembatalan pendaftaran karya tersebut secara serta-merta dan penahanan pembayaran royalti kepada individu terlibat.

“Kami mahu memastikan integriti karya muzik Malaysia sentiasa terpelihara,” tambah pihak MACP.

Satu lagi aspek kritikal yang disentuh adalah penggunaan karya milik ahli MACP oleh syarikat penyedia perkhidmatan AI untuk tujuan latihan model mereka atau Text and Data Mining (TDM).

MACP menegaskan bahawa sebarang penggunaan repertoir mereka tanpa kebenaran bertulis adalah satu bentuk pencerobohan hak cipta.

Syarikat AI diwajibkan untuk mendapatkan lesen dan persetujuan bertulis sekiranya mahu menggunakan aset intelektual di bawah seliaan MACP.

Jika didapati melanggar syarat ini, pemilik hak cipta asal berhak mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan.

Sebagai ahli kepada International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC), MACP membawa mandat daripada lebih lima juta pencipta di seluruh dunia ke peringkat tempatan.

Keanggotaan ini memastikan garis panduan AI di Malaysia selari dengan amalan terbaik di peringkat global, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang serius dalam melindungi harta intelek manusia dalam era digital.

Melalui garis panduan ini, MACP membuktikan komitmen mereka bukan untuk menolak pemodenan, tetapi untuk memastikan kecerdasan buatan tidak merampas hak asasi dan nilai ekonomi yang sepatutnya menjadi milik mutlak pencipta seni manusia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keanggunan songket maroon burgundy, sentuhan eksklusif Man Kajang di majlis resepsi anak Che Ta, Ammar Effendy & isteri

DUNIA fesyen tanah air sekali lagi terpukau dengan keindahan busana pengantin yang digayakan oleh pasangan yang menjadi tumpuan ramai,...

More Articles Like This