kelebihan sujud sajadah

Tahukah anda, di dalam al-Quran Rasm Uthmani, terdapat 15 tempat bagi bacaan sujud Sajadah. Kesemua ayat ini ditandai dengan gambar atau simbol rajah seperti kubah masjid, sebagai petunjuk bahawa ia adalah ayat Sajadah. Ayat-ayat tersebut ialah:

  • Surah al-A’raf: 206
  • Surah ar-Ra’d: 15
  • Surah an-Nahl: 50
  • Surah al-Isra’: 109
  • Surah Mariam: 58
  • Surah al-Hajj: 18
  • Surah al-Hajj: 77
  • Surah al-Furqaan: 60
  • Surah an-Naml: 26
  • Surah as-Sajadah: 15
  • Surah as-Shaad: 24
  • Surah Fushilat: 38
  • Surah an-Najm: 62
  • Surah al-Insyiqaq: 21
  • Surah al-A’laq: 19

Fadilat sujud sajadah

Sebagaimana yang diketahui, setiap amalan yang dilakukan oleh Baginda, Rasulullah s.a.w. mempunyai begitu banyak hikmahnya, sama ada yang kita sedari atau tidak.  Sujud sajadah juga tidak terkecuali. Antara hikmah melakukan sujud ini ialah:

  • Diberi ganjaran syurga bagi sesiapa yang mendengar bacaan sajadah. Selain itu, syaitan juga akan menangis dan meraung-raung kesedihan kerana dicampakkan ke dalam neraka, apabila kita bersujud, tatkala mendengar bacaan sajadah.

Hadis dari Abu Hurairah r.a katanya, “Apabila anak cucu Adam telah membaca ayat sajadah, kemudian dia sujud. maka syaitan itu akan menjauhi sambil menangis, dan berkata, “Sungguh celaka, anak cucu Adam diperintah untuk sujud kemudian dia sujud, maka baginya adalah syurga. Dan aku pun diperintahkan untuk sujud, tetapi aku mengabaikannya, maka bagi ku adalah neraka.”(HR Muslim)

Artikel berkaitan: Sujud sajadah tilawah apakah wajib sujud ketika sampai pada ayat sajadah

  • Memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah surah al-Hajj: 7 “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah kamu dan beribadatlah kepada Tuhan kamu serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)

Mereka yang sujud saat mendengar bacaan sajadah,  adalah mereka yang tergolong di kalangan yang khusyuk, tawaduk serta takut kepada Allah. Firmannya dalam surah Maryam: 58

“Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) ar-Rahman, mereka tunduk dan bersujud serta menangis.”

Dan firman Allah surah an-Nahl: 49 & 50, “Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak, serta malaikat, sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takabbur (daripada beribadat dan sujud kepada-Nya). Mereka takut kepada Tuhan mereka, yang mengatasi mereka (dengan kekuasaan-Nya) serta merta mengerjakan apa yang diperintah.

Jika malaikat yang kerjanya hanya beribadat kepada Allah tanpa melakukan sebarang dosa turut tunduk dan bersujud, tidak berlaku sombong serta takabbur, apatah lagi manusia seperti kita yang bersifat lemah.  Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’