Walaupun iblis dan syaitan memohon kepada Allah agar dipanjangkan umur sehingga ke hari Kiamat dan bersumpah untuk melaksanakan misinya menyesatkan umat manusia, namun terdapat pelbagai cara yang telah diajarkan oleh al-Quran dan as-Sunnah untuk menghindari daripada ancaman dan tipu daya syaitan antaranya:
Pertama: Ikhlas dalam beragama
Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah al-Hijr: 39 & 40,
“Iblis berkata, “wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, maka demi sesungguhnya aku akan memperindahkan segala jenis kemungkaran kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini. Dan aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hamba Mu yang ikhlas di kalangan mereka”
Di dalam ayat ini syaitan telah membongkarkan rahsianya yang amat penting. Dalam melaksanakan perjanjian dan permusuhannya kepada umat Islam sehingga hari Kiamat, syaitan hanya tertahan kepada satu golongan manusia iaitu orang-orang yang ikhlas dalam beragama.
Ikhlas dalam konteks ini bermaksud mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Memperjuangkan agama, membela agama dan melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah.
Kedua: Teguhkan iman dan ketakwaan
Syaitan tidak berdaya menggugat orang-orang yang memiliki iman dan ketakwaan yang teguh. Sebaliknya syaitan mudah menguasai orang-orang yang tidak menjaga diri daripada kesyirikan, serta suka mengikuti perangai dan jejak langkahnya. Allah berfirman dalam surah an-Nahl: 99 & 100
“Sesungguhnya syaitan itu tidak memiliki sebarang kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia pemimpin mereka, dan orang-orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan sebab hasutan mereka”
Di antara contoh perangai dan jejak langkah syaitan yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis adalah mendahulukan akal daripada naqli, bersikap takbur, ujub, sombong, suka mengeluarkan bunyi ketika menguap dan tidak menutup mulut, makan atau minum dengan tangan kiri, suka membazir, membuang masa, sengaja tidak menutup makanan, suka keluar pada waktu senja, suka bersendirian, suka menimbulkan perselisihan dan memecah-belahkan perpaduan umat Islam.
Ketiga: Berjemaah
Berjemaah sangat dianjurkan dalam Islam dan merupakan salah satu asas terpenting dalam agama. Allah berfirman dalam surah ‘Ali Imran: 103,
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai”
Syaitan sangat membenci kepada jemaah dan menyukai perpecahan. Ia akan sentiasa mencari jalan agar kita umat Islam sentiasa berpecah kepada pelbagai kumpulan dan aliran. Kemudiannya saling bermusuhan serta ujub di antara satu sama yang lain.
Bahkan syaitan juga akan mencari jalan agar ahli-ahli dalam satu kumpulan atau aliran saling berpecah, saling bermusuhan dan saling bermegah. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Wajib ke atas kalian berjemaah. Berhati-hatilah daripada perpecahan kerana sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian (berpecah) dan menjauhi orang yang berdua (berjemaah). Sesiapa yang mengingini tempat di tengah-tengah syurga maka hendaklah dia sentiasa berjemaah”
Keempat: Sentiasa berzikir mengingati Allah
Syaitan menjauhi orang yang sentiasa berzikir mengingati Allah iaitu dengan zikir-zikir yang dianjurkan atau disyariatkan melalui al-Quran dan as-Sunnah.
Terdapat beberapa bentuk zikir yang digalakkan dalam usaha menepis ancaman dan gangguan syaitan antaranya, membaca bismillah, istia’zah atau ta’awuz (doa-doa memohon perlindungan kepada Allah) dan mengamalkan ayat-ayat atau surah-surah tertentu daripada al-Quran. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka syaitan pun berkata (kepada kaumnya), “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua”
Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam” Apabila dia tidak berzikir ketika makan, maka syaitan pun berkata,
“Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam” (HR Muslim)
Demikianlah Allah dan Rasulnya mengajarkan kepada kita bagaimana menepis ancaman dan mengusir gangguan syaitan yang terlaknat. Malah dalam beberapa hadis yang lain Nabi s.a.w. turut menjelaskan kaedah mengusir dan menjauhkan syaitan daripada menghuni rumah-rumah kita. Sabda Baginda s.a.w.
“Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan itu melarikan diri dari rumah yang di dalamnya dibacakan surah al-Baqarah” (HR Muslim)
Artikel berkaitan: Siri 1 Kenali makhluk bernama syaitan iblis dan jin
Baca juga: Siri 2 manusia ada kembar jin
Selain itu Nabi s.a.w. turut menggalakkan agar mengamalkan bacaan ayat al-Kursi di setiap waktu pagi dan petang. Membacakan dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah dan memperbanyakkan membaca al-Quran di samping berusaha dengan bersungguh-sungguh mengamalkannya.
Dan ketahuilah bahawa syaitan itu tidak sedikit pun takut dengan al-Quran tetapi syaitan amat takut dengan orang yang membaca dan mengamalkan al-Quran. Wallahu a’lam
_____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

