PENYANYI Alif Satar tidak menyangka doanya untuk bertemu dengan ulama terkenal dunia, Mufti Menk dimakbulkan.
Ketika ini Alif bersama kumpulan The Locos berada di Madinah sebelum berangkat ke kota suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.
Menerusi perkongsian di Instagram, Alif begitu teruja kerana dapat bergambar bersama pendakwah terkemuka itu.
Kata Alif, dia sempat menonton Instagram Live Mufti Menk sebelum berlari ke masjid untuk mencari tokoh agamawan itu.
“Saya tahu amat sukar untuk mencari dalam lautan manusia. Saya siap bertanya kepada petugas kebersihan di masjid jika dia ada jumpa Mufti Menk. Tapi pekerja terbabit kata tiada.
“Dalam hati saya berkata,’Insya-Allah, kalau rezeki saya, Allah akan tunaikan’.
“Kemudian, dia muncul dan solat di sebelah saya. Allahuakbar. Saya sangat berbesar hati kerana dapat bertemu dengan dia secara lebih dekat,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, Mufti Menk turut meninggalkan komen dengan mendoakan agar Alif sentiasa dirahmati Allah.
“Semoga Allah merahmati kamu dan keluarga kamu selalu. Amin,” katanya.
Sementara itu, rata-rata pengikut Alif turut kagum dan meluahkan kegembiraan kerana Alif diberi peluang untuk bertemu dengan ulama kesayangan ramai itu di Tanah Suci.

