Bolehkah kulit menjadi lebih cerah dan lembut sebelum naik pelamin? Atau rambut kelihatan lembut bak sutera untuk dipamerkan kepada suami pada malam pertama?
Jawapannya – mestilah boleh. Nak tak nak sahaja. Kalau usaha pasti dapat hasilnya. Kalau duit bukan masalah, kenalah rajin menjejakkan kaki ke salun yang pastinya menuntut kos ribuan ringgit.
Namun jika anda mahu mencari alternatif lain yang lebih menjimatkan, ayuh kembali kepada perawatan semulajadi. Namun AWAS, jangan pula berharap kesannya dapat dirasai selepas semalaman diamalkan, remedi alami memerlukan sedikit masa untuk mempersembahkan kehebatannya.
Kulit kusam, berminyak atau gabungan kedua-duanya
Urut kulit wajah dengan ais yogurt yang ditaburkan dengan sedikit gula. Setelah itu, belah dua biji oren dan gosokkannya secara lembut pada kulit muka. Akhiri rejim ini dengan mencuci muka menggunakan ais.

Kulit lesu dan kering
Urut wajah dengan betik. Kemudian skrub dengan oat yang dicampurkan bersama madu serta sedikit susu sejuk. Setelah selesai, cuci muka dengan ais dan lap sehingga kering.

Rambut mengerbang
Perah dua biji lemon ke dalam dua cawan air, kemudian renihkannya sehingga menjadi setengah bahagian. Setelah sejuk, pindahkan cecair ke dalam botol semburan. Anda boleh semburkan pada rambut setiap hari dan rasai kuasa alam semulajadi.

Buat pewarna rambut semulajadi
Selain inai, rosemary boleh menaikkan seri warna rambut. Cuba ambil beberapa tangkai herba ini bersama dua sudu teh hitam dan rebuskannya bersama dua cawan air. Biarkan mendidih sehingga kuantitinya menjadi separuh. Ia boleh digunakan bersama syampu, namun perlu dibiarkan selama 15 minit sebelum anda membilas bersih rambut.

Miliki kulit belakang badan yang lembut
Merancang mahu mengenakan busana jenis low back blouse atau backless dress namun tiada masa untuk skrup kulit di belakang tubuh? No problem. Ambil satu cawan garam laut, setengah cawan minyak zaitun bersama lima titik minyak kayu cendana, gosokkan campuran ini secara membulat pada bahagian belakang badan.

Bye-bye mata panda
Uncang teh bunga chamomile yang disejukkan boleh menghilangkan lingkaran gelap bawah mata. Jika mahukan kesan berganda, letakkan timun yang dipotong bulat di atas mata, kemudian letakkan pula uncang teh bunga di atas timun tadi. Berapa tempoh masa diperlukan untuk setiap sesi? Cukuplah 10 minit.

Wow, runcingnya wajah
Amalkan mengurut wajah dengan ais yang dicampurkan bersama madu, terutamanya pada bahagian rahang dan dagu. Telur putih yang dipukul sehingga gebu juga boleh membantu anda memiliki kulit cantik dan lembap.

Solusi buat mata letih
Rebus air mineral yang dibekukan bersama dua hingga tiga titik madu. Setelah sejuk, titiskan sedikit ke dalam mata. Buat beberapa ketika, mata mungkin sedikit pedih dan terlihat merah, namun keadaan ini tidak lama. Setelah beberapa minit, mata akan kembali jernih malah menjadi lebih segar serta bersinar.

Cara pantas jaga rambut
Sekiranya tiada masa untuk bersyampu dan mengeringkan rambut yang berminyak, cuba percikkan rambut dengan sedikit bedak talkum. Tuangkan sedikit serbuk amla pada sikat dan sisir rambut secara terbalik (bermula dari pangkal leher ke hujung). Tip ini akan menjadikan mahkota terlihat bersinar dan berbau harum.


