Ini kisah seorang sahabat yang mempunyai paras yang buruk dan keadaan fizikal tidak sempurna. Kisah Julaybib adalah inspirasi bagi mereka yang sedang kecewa dan kesepian.
Kali pertama saya mendengar kisah ini dituturkan oleh Syaikh Omar Suleiman, Pengarah Yayasan Pendidikan Islam, Amerika Syarikat, menitis air mata kerana berbaur pelbagai rasa. Dan, rasa itu boleh diterjemahkan sehabisnya kisah ini dibaca.
Seperi yang diriwayatkan dalam kitab sejarah, Julaybib adalah sahabat yang tidak sempurna fizikalnya, bentuk tubuhnya kerdil. Tidak diketahui asal keturunannya, siapa ibu bapanya, tidak ada kaum kerabat melindungi, masyarakat tidak menerimanya dan hidupnya sendirian sebatang kara.
Dia tetap mendiamkan diri dan menyendiri walaupun kanak-kanak di Madinah mengusik, mempermainkannya dengan kekurangan yang dimiliki. Tidak ada siapa pun yang mahu berkawan dengannya.
Hidup diteruskan semampu yang boleh, malam-malam panjang dihiasi dengan kesunyian di jalanan dan dada sesak dengan kekecewaan. Air mata kehampaan tidak pernah kering membasahi pipi, tidak siapa pun mahu menghulurkan walau secebis rasa sayang dan belas kasihan.
Di dalam dunia yang luas terbentang hanya dirinya saja yang mengisi hari-hari berlalu tapa keluarga di sisi apatah lagi seorang sahabat. Hidup baginya hanyalah perjuangan sebuah kesunyian.
Julaybib bukan sesiapa malah kewujudannya tidak pernah ada yang ambil peduli hingga namanya pun tidak ada siapa yang mengetahui. Panggilan Julaybib yang membawa maksud kerdil hanya gelaran bukan namanya sebenar.
Ketika berjalan mukanya sentiasa ditundukkan memandang tanah kerana terlalu rendah diri dengan rupanya yang hodoh. Sebelum turunnya ayat wajib menutup aurat, Jilaybib sering berkawan dan menyertai kumpulan wanita. Hanya golongan wanita saja yang mahu berkawan dengannya sedangkan lelaki menyisisihkannya.
Hidup dipinggirkan oleh kaum lelaki bukan satu perkara yang mudah diterima kerana dia pun lelaki. Dia dilayan dengan buruk oleh orang lelaki dan menjadikan dia sangat sensitif dengan lelaki.
Kamar tidurnya hanya redup teduhan pokok dan berkelana mencari perdu pokok yang lain untuk menyelesakan diri. Tidurnya berbantalkan lengan dan berhamparkan pasir serta baru.
Rumahnya hanya berbumbungkan langit dan berdindingkan angin. Tika malam menjelma lena tidurnya sesekali dibawa ke masjid menumpang sejenak melepaskan lelah. Perut yang kelaparan tidak pernah dihiraukan, air yang membasahkan tekak serta penghilang dahaga hanya daripada telaga wakaf.
Segala satu macam kesusahan yang menghiasi diri tidak pernah membuatkannya lupa kepada Sang Pencipta, Allah. Ayat-ayat cinta daripad al-Quran sering dibaca sebagai penghibur hati. Julaybib tidak gagal menghadirkan diri ke masjid setiap kali solat dan dipastikan dirinya sentiasa berada di saf pertama demi meraih redha Allah.
Hijrah Nabi membawa sinar
Penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah, memberi sinar dan mengubah masa depan Julaybib. Dia bukan lagi manusia kerdil yang mengasingkan diri daripada lelaki walaupun saiz tubuhnya tidak pernah berubah tapi hatinya menjadi besar.
Julaybib sudah mempunyai keyakinan duduk bersama Rasulullah dan para sahabat. Mendengar dengan khusyuk setiap bait-bait ayat yang dituturkan oleh Rasulullah namun masih jarang bercakap, kekal dengan sifat pemalunya dan pandangannya sentiasa ditundukkan. Kehadiran Julaybib sudah diterima di dalam masyarakat Madinah.
Suatu hari Julaybib duduk bersama Rasulullah, Baginda bertanya,
“Wahai Julaybib mintalah sesuatu. Adakah sesuatu yang kamu inginkan.”
Julaybib mendongakkan kepalanya perlahan-lahan dan bersuara malu-malu,
“Wahai Pesuruh Allah, Allah telah merahmati aku dengan menghadirkanmu di sisiku sebagai sahabatku. Dengan rahmat itu aku mampu duduk bersama-samamu dan mendengar kata-katamu, sudah tidak ada apa lagi yang aku inginkan.”
Rasulullah bertanya lagi,
“Tidak adakah keinginan kamu untuk mendirikan rumah tangga wahai sahabatku Julaybib.”
Julaybib tersenyum malu memikirkan siapalah yang mahu berkahwin dengannya,
“Ya Rasulullah! sesungguhnya aku punya keinginan untuk berkahwin.”
Kemudian Rasulullah menuju ke rumah salah sahabat Ansar yang dihormati di Madinah.
“Aku datang untuk melamar anak kamu,”
Rasulullah terus memberitahu hajatnya. Alangkah gembiranya hati sahabat menyambut hajat Rasulullah,
“Wahai Pesuruh Allah, inilah rahmat yang paling hebat bagiku.”
Baginda berkata lagi,
“Aku tidak melamar anak perempuanmu untuk diriku tapi untuk sahabatku.” Sahabat itu masih teruja,
“Untuk siapa wahai Rasulullah? Adakah untuk Abu Bakar? Umar? Uthman?” Baginda menjawab,
“Tidak. Aku melamarnya untuk Julaybib.” “Apa? Jualaybib?” tanya sahabat tidak percaya.
Lalu Nabi membalasnya, “Ya, untuk Julaybib.”
Sahabat itu meminta izin untuk bertanya kepada isterinya,
“Aku perlu berbincang dengan isteri ku.” Lelaki itu masuk menemui isterinya,
“Rasulullah ingin melamar anak kamu untuk Julaybib.” Isterinya mula menangis dan berkata dengan keras,
“Tidak! Tidak boleh dengan Julaybib. Orang lain pun tidak mengapa asalkan jangan Julaybib. Aku tidak akan benarkan itu berlaku.”

Ketika terdengar kekecohan suara ibu, si anak perempuan yang ingin dilamar Rasulullah datang menjengah. Perempuan yang ingin dipinang Rasulullah bukan calang-calang daripada segi rupanya, sungguh jelita tidak ada tandingannya dalam kalangan Ansar.
Tingkah lakunya penuh sopan dan sentiasa menutup aurat malah langit pun tidak pernah nampak kepalanya tanpa hijab. Allah tiupkan rasa takwa yang tinggi di hati gadis itu. Hidupnya hanya mengabdikan diri kepada Allah.
“Apa yang sebenarnya sudah berlaku?” soal si anak.
Lalu si ibu menerangkan bahawa Rasulullah berhajat melamarnya untuk Julaybib namun hati seorang ibu menentang pinangan itu.
“Wahai ibu, nikahkan aku dengan Julaybib. Allah dan Pesuruh-Nya tahu apa yang terbaik untukku. Adakah kita perlu membantah apa yang telah diperintahkan-Nya.”
Lalu si anak membacakan surah Al-Azab: 36,
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan- apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak untuk memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
Mendengarkan ayat yang dibaca oleh si anak, hati ibu dan bapa yang keras menjadi lembut lalu memberikan persetujuan untuk menerima pinangan Rasulullah.
Keesokan harinya Julaybib dinikahkan dengan wanita paling cantik dan beriman dalam kalangan wanita Ansar. Uthman dan Ali menghadiahkan sejumlah wang kepada Julaybib untuk menguruskan majlis perkahwinannya dan menyediakan kediaman selepas berkahwin.
Julaybib gugur di medan perang
Tidak beberapa lama selepas menikah, Julaybib menyertai Rasulullah untuk satu perjalanan yang jauh mengembangkan Islam. Walaupun setelah ditegah oleh bapa mertuanya.
“Wahai ayahku ini bukan satu perjalanan yang sia-sia dalam peperangan menentang musuh Islam. Aku tidak akan sanggup duduk bersenang lenang dengan isteriku sedangkan Rasulullah menghadapi segala kesukaran menentang musuh,” balas Julaybib.
Walaupun saiznya jauh lebih kecil daripada pejuang Islam yang lain, Julaybib tidak pernah meletakkannya sebagai halangan. Selepas peperangan tamat, Rasulullah bertanya kepada para sahabat jika ada sesiapa yang kehilangan saudara mara.
Setiap sahabat menghitung ahli keluarga masing-masing dan tidak ada sesiapa yang kecundang di medan perang. Dengan air mata yang masih bergenang di kelopak mata, Rasulullah meluahkan,
“Aku kehilangan sahabat kesayanganku Julaybib. Aku kehilangan Julaybib.”
Rasulullah naik ke Uhud untuk mencari Julaybib dan sekujur tubuh sahabat kesayangannya itu terbaring kaku dikelilingi tujuh mayat musuh. Julaybib mati syahid setelah menewaskan musuh Islam. Rasulullah melutut lalu memangku Julaybib,
“Ya Allah! Sesungguhnya aku daripada dia dan dia daripada aku.”
Rasulullah mengulang kata-kata itu sebanyak tiga kali. Air mata Rasulullah s.a.w. terus mengalir saat memangku Julaybib. Seketika kemudian Baginda tersenyum lalu memalingkan mukanya.
Sahabat kehairanan melihatkan tingkah laku Rasulullah.
“Wahai Rasulullah, kami melihat engkau menangis, kemudian tersenyum lalu memalingkan muka. Sesungguhnya kami belum pernah melihat engkau berkelakuan begitu sebelum ini.” Rasulullah menjawab,
“Aku menangis kerana cintaku pada Julaybib. Aku tersenyum apabila melihat Julaybib berada di syurga. Aku berpaling apabila melihat bidadari syurga berlari mendapatkan Julaybib untuk menyambut kedatangannya hingga terselak kain bidadari menampakkan betisnya.”
Moral: Rasulullah s.a.w. cuba untuk menerangkan konsep idea cantik dalam kehidupan ini. Kisah Julaybib adalah contoh bahawa manusia hanya melihat kecantikan pada luarannya dan bukan kecantikan di sisi Allah. Kecantikan yang sebenar adalah cantiknya kita di sisi Allah, walaupun hodoh dan tiada nilai tetapi itu bukan ukuran di sisi Allah.
Bagi mereka yang tidak dianugerahkan kecantikan fizikal jangan mencari kecantikan itu di sisi orang lain atau mencari kecantikan di dalam diri orang lain.
Carilah kecantikan di sisi Allah. Itulah yang paling penting di akhirat. Apabila kita bertemu dengan seseorang sahabat yang mempunyai keyakinan diri yang rendah berilah dia kekuatan dan motivasi untuk menaikkan keyakinannya. Usaha itu adalah sebahagian daripada sedekah. Wallahu a’lam
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

