LAZIMNYA apabila disebut sungai, sudah tentu ada dasarnya. Tetapi, sebuah sungai yang terletak di Kepulauan Mindanao di Filipina boleh disifatkan sebagai khazanah alam yang unik apabila dasarnya sukar ditemui.
Dikenali dengan nama Sungai Hinatuan, ramai sudah cuba menyelam untuk mencari dasar sungai ini, ia masih gagal ditemui. Kerana itu, sungai ini popular dengan jolokan nama sungai tanpa dasar.
Terusan air ini mempunyai kecantikan dan kejernihan yang luar biasa. Warna hijau kebiruan pada sungai jelas menunjukkan betapa indahnya Hinatuan sebagai sebuah sungai. Saling tidak tumpah seperti sebuah destinasi berunsurkan magis di dalam filem animasi dan khayalan.
Kejernihan airnya umpama kristal membolehkan sesiapa saja melihat ikan-ikan berenang di dalamnya. Pengunjung di daratan juga dapat menyaksikan kecantikan hidupan sungai melalui permukaan air yang jernih.

Dalam kalangan masyarakat tempatan, sungai ini dikaitkan dengan pelbagai kisah legenda dan dunia mistik. Antaranya, sungai ini dicipta oleh duyung dan pari-pari telah mewarnakan sungai ini seperti yang dilihat sekarang. Ada juga kisah tentang ikan dalam sungai ini yang tidak boleh ditangkap. Termasuk kepercayaan kuasa ghaib yang menjaga kawasan sungai ini.
Kononnya, Hinatuan didakwa sebagai sungai yang muncul secara tiba-tiba. Tanpa sebarang sumber, mana mungkin terusan air ini boleh wujud. Pandangan itu menguatkan lagi keyakinan mereka tentang mitos yang diceritakan. Ini ditambah dengan cerita pengunjung yang datang mandi pada waktu malam akan diganggu oleh ‘penunggu’ yang menjaga kawasan berkenaan.
Sungai tanpa dasar ini mula ditemui pada tahun 1999. Alex Santos adalah individu pertama yang menjumpai terusan air Hinatuan. Kepakaran sebagai penyelam gua menyebabkan dia memiliki kemahiran untuk menyelam ke dalam sungai unik.
Bagaimanapun, pemerhatian awal terhadap sungai Hinatuan mula dilakukan oleh sekumpulan penyelam ‘Filipino cave divers’ (FCD) pada tahun 2010. Mereka terdiri daripada Dr. Alfonso Amores, Bernil Gastardo dan Emgee Guillermo. Alex Santos dan beberapa rakan lain turut terlibat di dalam misi Hinatuan dalam peringkat seterusnya.

Pada tahun 2011, mereka mendalami kajian mengenai Sungai Hinatuan dengan menyelam pada kedalaman 90 meter. Namun, kajian tidak berakhir pada kedudukan tersebut.
Kegiatan kumpulan ini disambung pada tahun 2013. Berdasarkan hasil laporan, Hinatuan adalah sungai yang berasal dari sumber mata air bawah tanah. Sumber berkenaan berkemungkinan datang dari akuifer (satu jasad batuan yang boleh telap air dan menghasilkan air tanah) yang mengumpulkan air daripada kawasan tadahan hujan lebat.
Dalam pada itu, semasa melakukan selaman untuk mencari dasar sungai, FCD telah menemui satu jalan sempit. Laluan kecil itu kemudiannya membawa kumpulan ini menjumpai satu ruang bersaiz besar dikenali sebagai ruang Mayor. Anggaran keluasan ruang ini berukuran 37 meter panjang, 31 meter lebar dan ketinggian maksimum lapan meter. Mereka memerlukan masa 11 minit untuk sampai ke sini.
Seterusnya, kumpulan penyelam ini menyelam dengan lebih dalam melalui ruang Mayor sehingga menemui semula satu laluan kecil. Laluan ini adalah sumber air yang diperoleh daripada akuifer seperti yang dijelaskan sebelumnya.
Air yang terkumpul dari atas tanah masuk melalui celahan batu kapur yang retak. Dari situ, aliran air tersebut akan mengalir hingga menemui terusan kecil yang berada di bawah tanah.
Mereka berjaya sampai pada kedalaman 87 meter. Aliran sungai berkenaan seterusnya menuju ke bahagian yang tidak dapat diketahui punca dan dasarnya.
Aliran Sungai Hinatuan masih kekal tidak ditemukan bahagian dasarnya. Imej saluran unik ini telah digambarkan melalui lakaran yang dimuat naik pada laman filipinocavedivers.com.
Meskipun wujud sebagai sungai tanpa dasar, ternyata ia tidak sedikit pun mengurangkan perasaan takut para pengunjung untuk menyelam ke dalamnya semata-mata mahu melihat sendiri keindahan Sungai Hinatuan sebagai salah satu destinasi keunikan alam.
Pada tahun 2017, kerajaan tempatan telah melarang pengunjung berenang di bahagian kolam utama sungai ini sebagai usaha pemuliharaan.



_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

