Melihat air sungai yang kebiruan ini menimbulkan rasa takjub pada sesiapa yang menyaksikannya. Ia adalah Sungai Hinatuan yang terletak di Surigao del Sur, di Mindanao, Filipina.
Berkedalaman 25 meter, sungai ini mengalir jernih sepanjang masa dan menjadi satu tarikan popular pengunjung dalam dan luar negara. Sungai ini mengalir ke Laut Filipina dan Lautan Pasifik.
Ia turut digelar ‘sungai ajaib’ daripada seorang diplomat, Modesto Farolan yang menggambarkan sungai ini di dalam puisinya berjudul Rio Encantado.

Alex Santos adalah orang pertama yang meneroka ke dalam gua yang terdapat dalam sungai ini pada tahun 1999. Sebelas tahun kemudian, penerokaan gua tersebut diteruskan oleh tiga penyelam yang diketuai Dr. Alfonso Amores bersama pasukannya, Bernil Gastardo dan Emgee Guillermo pada tahun 2010.
Ekspedisi selaman tersebut membawa kepada penemuan ruang tersembunyi di dalam gua di bawah air sungai tersebut. Namun, penerokaan keenam pada Jun 2014 telah meragut nyawa Dr. Alfonso selepas dia gagal keluar daripada pintu gua yang sempit, pada kedalaman 40 meter.
Pun begitu, penerokaan tetap diteruskan pada Mac 2015 dengan dengan kedalaman melebihi 82 meter. Tujuannya adalah untuk penilaian dan pemetaan ekosistem kawasan sungai tersebut.

Kisah Misteri Dan Dongeng
Sungai ini turut digelar sebagai ‘sungai suci’ oleh penduduk tempatan yang percaya ia dijaga oleh roh-roh yang sentiasa berada di sekitar kawasan sungai. Pelbagai kisah misteri dikaitkan dengan sungai ini.
Penduduk sering menceritakan tentang kehadiran ikan misteri yang besar dan berkilauan dalam sungai itu. Namun, tiada sesiapa berjaya menangkap ikan itu walau menggunakan apa cara sekalipun. Para nelayan percaya ikan ini ialah penjaga sungai yang merupakan jelmaan dari alam ghaib.

Ada juga legenda tempatan menceritakan tentang ‘engkanto’, makhluk ghaib dalam kepercayaan orang Filipina yang mendiami kawasan sungai ini. Engkanto ini digambarkan sebagai mahkluk halus yang cantik dan tampan, mempunyai kuasa untuk mendatangkan tuah atau bencana kepada mereka yang tidak menghormati kawasan tersebut.
Selain itu, penerokaan yang dilakukan oleh para penyelam telah menemui sebuah ruang dalam gua di sungai tersebut yang digelar sebagai ‘Mayor’s Chamber’. Penduduk tempatan percaya ruang itu adalah tempat tinggal roh atau pintu ke dimensi lain.
Mereka juga mengaitkan cerita itu dengan misteri yang dialami para penyelam ketika memasuki ruang tersebut. Ada penyelam menceritakan mereka mengalami halusinasi, atau berasa bingung dan seperti hilang arah bila berada di gua tersebut, selain merasakan seperti ada sesuatu yang memerhatikan mereka.
Dahulu, bahagian kolam utama sungai ini dibuka untuk pengunjung berenang. Tetapi sejak tahun 2017, kerajaan tempatan telah melarang pelancong daripada berenang di kolam utama bagi tujuan pemeliharaan dan penyelenggaraan. Walau bagaimanapun, mereka telah menetapkan kawasan berenang khusus untuk pelancong berhampiran pusat lagun, yang terletak 10 meter dari kolam utama.
Oh ya, pengunjung selalunya diingatkan supaya tidak mengambil batu, tumbuhan bahkan air sungai ini keluar dari kawasan tersebut. Dilaporkan ada banyak kejadian membabitkan pelancong yang jatuh sakit selepas membawa pulang sesuatu daripada kawasan sungai ini. Hanya selepas mengembalikan semula barang yang diambil dan melakukan upacara memohon maaf, barulah pengunjung itu sembuh semula.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

