SEBATANG pokok Oregon daripada spesies Hemlock boleh dikatakan aneh apabila hidup terapung di sebuah tasik tanpa mendapat sokongan dari dasar mahupun permukaan air.
Keanehan ini timbul apabila pokok ini dikatakan boleh bergerak dan singgah di pelbagai lokasi berbeza. Perubahan cuaca dan gerakan angin dikaitkan sebagai faktor utama menyebabkan pokok ini mampu ‘berpindah randah’.
Pokok aneh ini dikenali sebagai ‘Old Man of the Lake’. Terletak di tasik Crater di Oregon, Amerika Syarikat. Pakar geologi, Joseph Diller ialah orang pertama yang menemui pokok ini pada tahun 1896. Ujian pentarikhan karbon mendapati pokok ini berusia hampir 500 tahun.
Hampir seabad lamanya para pengkaji berusaha untuk membongkar cerita berkaitan pembentukan tasik Crater. Sebelum tasik ini wujud, tapak itu merupakan kawasan gunung berapi yang dikenali sebagai Gunung Mazama. Dipercayai gunung itu telah musnah semasa letusan besar lebih tujuh ribu tahun yang lalu. Kawasan letusan itu membentuk sebuah kawah yang luas dan menjadi tasik seperti dilihat hari ini. Tasik Crater merupakan tasik kesembilan paling dalam di Amerika Syarikat.


Berdasarkan pokok aneh ini, para pengkaji yakin sebatang pokok telah meluncur jatuh dari kawasan tebing berhampiran, lalu akar dan batangnya telah tenggelam ke dalam tasik.
Suatu hari, separuh daripada batang tersebut timbul di permukaan tasik. Maka terjadilah satu gambaran yang cukup misteri apabila ia seolah-olah terapung-apung bagaikan kapal yang tidak berhaluan. Dikatakan pokok purba ini sudah terapung dan ‘berjalan-jalan’ di sekitar tasik yang luas ini sejak lebih 100 tahun yang lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Crater Lake, panjang ukuran kayu ini ialah sembilan meter atau bersamaan 30 kaki. Bahagian yang timbul di permukaan air adalah kira-kira 1.2 meter atau empat kaki.
Pokok ini dipercayai tidak mereput, patah mahupun tenggelam kerana air tasik yang sejuk membuatkan ia mampu hidup lama sehingga ratusan tahun.
Pada tahun 1902, Diller menerbitkan satu kajian ilmiah yang pertama tentang batang pokok ini dan mendapati bahawa dalam tempoh lima tahun pertama penemuannya, batang itu telah mengembara kira-kira 400 meter di sepanjang tasik tersebut.
Sepanjang dari 1 Julai hingga 30 September 1938, wartawan John Doerr menghabiskan masa tiga bulan untuk merantau di sekitar tasik, dan apa yang ditemui beliau apabila pokok ini bergerak dalam jarak yang sangat jauh iaitu lebih 60 batu dari tempat asalnya.


Bagi penduduk setempat, tunggul pokok ini dikaitkan dengan sebuah legenda. Kisah ini terjadi sekitar tahun 1988. Ketika itu, sekumpulan saintis melakukan ekspidisi kapal salam ke tasik berkenaan. Bagi mengelakkan kajian itu terganggu, mereka telah mengikat pokok tua ini di bahagian Pulau Wizars, sebuah pulau kecil di tasik itu. Tujuannya supaya pokok itu tidak berganjak dari kedudukannya sepanjang mereka menjalankan kajian.
Dikatakan semasa pokok itu diikat, cuaca yang tenang dan cerah berubah menjadi gelap diiringi ribut dan angin kencang. Hanya setelah ikatan pokok itu dilepaskan, barulah cuaca kembali cerah dan tenang semula. Keadaan itu telah menguatkan lagi kepercayaan mistik di kalangan masyarakat setempat terhadap pokok itu.
Berdasarkan prinsip fizik, bahan yang kurang tumpat akan timbul di permukaan berbanding bahan yang lebih tumpat daripada cecair. Maka, pokok yang timbul ini boleh dikatakan sebagai bahan yang kurang tumpat, kerana itu ia timbul. Tetapi, terdapat percanggahan tentang teori itu di mana ada yang mempertikaikan, pokok ini sepatutnya terapung secara mendatar. Agak aneh dengan ukuran sepanjang 30 kaki, pokok ini mampu terapung secara menegak di tasik ini tanpa sebarang bantuan dari dasar mahupun objek di permukaan air.
Berdasarkan pendapat sesetengah pengkaji, kedudukan tegak pokok ini mungkin berlaku disebabkan oleh faktor suhu. Ketumpatan sesuatu bahan akan berkurangan apabila suhu naik. Ini kerana kenaikan suhu menyebabkan pengembangan isi padu. Oleh sebab jisim tidak berubah, ketumpatan jadi berkurangan. Selain itu, kewujudan bendasing terlarut turut mempengaruhi pertambahan isi padu. Ini yang boleh dikaitkan secara logik mengapa pokok ini mampu berdiri tegak dalam tasik ini.


_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

