Awas apabila anak cirit birit dan muntah berterusan. Rotavirus boleh membawa maut

Dari Penulis

Jika anak anda mengalami cirit birit dan muntah yang berterusan, jangan berlengah dan segera ke hospital kerana mungkin anak anda dijangkiti acute gastroenteritis (AGE) yang berpunca dari virus Rotavirus dan boleh membawa maut.

Rotavirus adalah virus yang berjangkit melalui sentuhan najis, makanan dan air yang tercemar.

Apabila seseorang kanak-kanak mendekati barang atau tempat yang telah dicemari dengan kotoran Rotavirus, kanak-kanak tersebut mudah menjangkitinya.

Rotavirus berbahaya kerana ia mampu bertahan sehingga beberapa hari di sesuatu tempat sebelum menjangkiti mangsanya terutama bayi yang berusia dua bulan hingga dua tahun.

Pakar Perunding Pediatrik Kardiologi menjelaskan, jika anak demam panas atau sawan serta muntah berlanjutan sehingga sembilan hari, segera dapatkan rawatan di hospital.

“Jika anak anda demam panas atau sawan serta muntah-muntah yang berlanjutan sehingga sembilan hari serta cirit-birit sebanyak 20 kali sehari selama tiga minggu, cepat-cepatlah bawa mereka ke klinik atau hospital berdekatan.

“Cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air dari tubuh yang teruk) terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kejadian ini boleh mengakibatkan kejutan, kegagalan buah pinggang atau kerosakan otak. Jika tidak dirawat dehidrasi ini boleh mengancam nyawa mereka.

“Kebanyakan kes ini berlaku kepada bayi yang berusia dua tahun ke bawah kerana mereka begitu mudah untuk dijangkiti. Perkara ini berlaku kerana kanak-kanak ini masih kecil dan badan mereka tidak boleh bertahan jika mengalami kekurangan air dalam badan,” katanya.

Menurutnya lagi apabila muntah, mereka takut untuk minum dan ini mendatangkan masalah kerana tiada gantian air di dalam badan setelah mereka muntah.

“Virus tersebut dipercayai merebak melalui air yang boleh menyebabkan radang pada bahagian usus. Jangkitan rotavirus ini bermula dengan demam diikuti cirit-birit dan muntah-muntah. Perkara ini disebabkan air dicemari virus dan ia mudah merebak.

“Contohnya jika bayi A minum air yang tercemar boleh menyebabkan bayi itu diserang rotavirus. Apabila najisnya dicuci tidak bersih oleh si ibu dan ibu itu pula memegang tombol pintu selepas itu. Kemudian datang ibu bapa lain turut memegang tombol pintu yang sama, anak-anak mereka mungkin berjangkit dengan virus tersebut,” ujarnya.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tahun 2000-2003 sebanyak 10.6 juta kematian berlaku setiap tahun di kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun semuanya disebabkan masalah cirit –birit.

AGE ini boleh berlaku di mana-mana tempat tetapi kebanyakan kes AGE ini berlaku di kawasan bandar kerana bayi-bayi ini dihantar ke nurseri dan mereka menjangkitinya daripada orang lain.

Cara Mengatasi Rotavirus

Kata Pakar Perunding Pediatrik Kardiologi ini lagi, simptom bayi itu kekurangan air boleh dilihat bila kadar degupan jantung mereka meningkat, badan mereka letih, tidak bertenaga, kulit, lidah kering dan bibir menjadi kering.

“Selain itu mata mereka juga kelihatan tenggelam ke dalam dan kita juga boleh rasakan ubun-ubun di atas kepala mereka turut tenggelam. Bila menangis tiada air mata yang keluar sedangkan bayi itu menangis teresak-esak,” tambahnya lagi.

Untuk mengatasi masalah virus rotavirus ini dari terus merebak, ibu bapa dinasihatkan agar minum air yang telah dimasak, mencuci tangan dengan betul setelah melakukan apa-apa aktiviti sebelum menyentuh makanan atau memegang bayi.

“Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian mempunyai risiko tinggi untuk mendapat rotavirus ini. Cara paling berkesan untuk mencegah ialah dengan suntikan vaksin rotavirus diberikan kepada kanak-kanak di bawah usia dua bulan hingga lapan bulan.

“Suntikan ini bagus kerana ia dapat hasilkan antibodi yang boleh melawan kuman rotavirus. Suntikan ini dapat melindungi bayi-bayi anda. Selain menjaga kebersihan diri, gunakan air yang telah dimasak, kerapkan membasuh tangan sebelum memegang bayi dan botol susu sentiasa disteril,” ulasnya.

Jelasnya lagi, jika hospital berada terlalu jauh dari rumah beli dan simpan Oral Rehidration Salt di rumah sebagai langkah keselamatan. Air garam ini bagus kerana ia dapat menggantikan cecair yang telah hilang dari dalam badan bayi.

“Air garam ini pula tidak digalakkan diberi dalam kuantiti yang banyak pada satu masa sebaliknya diberi sedikit-sedikit sehingga habis,” pesannya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This