Saidina Hassan bin Ali r.a., adalah seorang tokoh Islam yang sangat dicintai oleh umat Islam. Sebagai seorang cucu Rasulullah s.a.w. beliau adalah ibarat permata di zaman hidupnya kerana memiliki budi pekerti yang mulia dan terpuji.
Pada suatu hari sedang Saidina Hassan duduk di muka pintu rumahnya, tiba-tiba datang seorang pemuda badwi, lalu mencacinya dan juga kedua ibu bapanya. Anehnya, Saidina Hassan hanya mendengar sahaja tanpa sedikit pun berubah air mukanya, atau membalas kata-katanya itu.
Saidina Hassan berkata kepada orang itu,
“Wahai badwi, adakah engkau lapar atau dahaga? atau adakah sesuatu yang merungsingkan hati engkau?.”
Tanpa mempedulikan kata-kata Saidina Hassan, badwi itu terus memaki hamunnya.Oleh itu Saidina Hassan pun menyuruh pembantu rumahnya membawa uncang yang berisi wang perak lantas diberikannya kepada badwi itu dan berkata,
“Wahai badwi, maafkanlah saya. Inilah sahaja yang saya miliki. Jika ada yang lebih tidak akan saya sembunyikannya daripadamu.”
Sikap dan layanan Saidina Hassan itu akhirnya berjaya melembutkan hati badwi tersebut. Badwi itu menangis teresak-esak lantas sujud di kaki Saidina Hassan dan berkata,
“Wahai cucu Baginda Rasulullah s.a.w. maafkanlah aku kerana berlaku kasar terhadapmu. Sebenarnya aku sengaja melakukan begini untuk menguji kebaikan budi pekertimu sebagai cucu Baginda Rasulullah s.a.w. yang aku kasihi. Sekarang yakinlah aku bahawa engkau memang mempunyai budi pekerti yang mulia sekali.”
Abu Hurairah r.a berkata, bahwa Nabi Muhamad s.a.w bersabda,
“Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (HR.Abu Daud dan disahihkan oleh al Albani di dalam kitab Silsilat al Ahadits Ash Sahihah).
Berkata al Khaththaby rahimahullah:
“Hadits ini ditafsirkan dengan dua makna:
Pertama: “Bahawa barang siapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka niscaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah Ta’ala dan tidak bersyukur kepada-Nya.
Kedua: “Bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala, tidak menerima syukurnya seorang hamba atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka.” Lihat kitab Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby
Selain itu Baginda s.a.w. turut bersabda,
“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya” (HR Abu Daud)
Dalam hadis yang lain juga disebutkan dari Jabir r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Siapa yang diberi pemberian maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak maka dengan memujinya, sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikannya (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat)” (HR Abu Daud & Tirmizi)
Memang benar setiap pemberian nikmat yang hakiki adalah dari Allah, manakala manusia yang melakukan kebaikan hanyalah sebagai perantara nikmat yang kita peroleh.
Walaubagaimanapun indahnya Islam ini, sekalipun menjadi perantara nikmat kebaikan ia tetap perlu dihargai dan dibalas dengan kebaikan sekalipun doa yang baik-baik waima yang memberi kebaikan itu adalah musuh atau orang yang paling dibenci.
Perbuatan menghargai pemberian nikmat orang lain adalah satu bentuk kesyukuran kepada Allah. Bermakna dengan menghargai kebaikan orang lain maka ia turut menghargai nikmat pemberian Allah.
Seseorang yang sukar untuk berterima kasih kepada manusia yang melakukan kebaikan padanya maka ia sebenarnya juga sukar untuk bersyukur kepada Allah. Dan asbab dari itu janganlah pula disalahkan sesiapa termasuk Allah atau qadak dan qadar sekiranya dia menghadapi kesukaran dan kesempitan dalam hidup.
Itu kerana Allah telah jelaskan dalam firmannya surah Ibrahim: 7
“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat Ku kepadamu. Dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras” Wallahu a’lam
_________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’