SUATU petang dalam bulan Ogos 1971, Maria Gomez Camara yang merupakan seorang suri rumah masuk ke dapur untuk menyiapkan hidangan makan malam keluarganya. Namun, dia menjerit ketakutan apabila melihat lantai dapur rumahnya di desa Belmez, salah sebuah kawasan pedalaman di Sepanyol.
Pada lantai itu terpampang wajah seorang lelaki tidak dikenali. Ia bagaikan potret lukisan yang dilakar di atas lantai. Maria terkejut dan hairan bagaimana wajah lelaki itu terpampang pada lantai dapurnya. Setahu Maria, lantai dapurnya bersih. Mustahil ada orang datang melukis di situ.
Kisah lukisan misteri yang timbul di lantai dapur rumah Maria mula diperkatakan sehingga penduduk desa itu datang ke rumah Maria untuk menyaksikan keanehan tersebut. Mereka percaya, lukisan yang timbul secara misteri itu bagaikan satu manifestasi daripada dunia roh.
Maria berasa terganggu dengan potret misteri itu sehingga tidak berani untuk menggunakan dapurnya. Seminggu kemudian, dengan menggunakan sebilah kapak, anak lelaki Maria memecahkan lantai dapur rumah mereka. Setelah ‘wajah’ lelaki itu hilang, lantai dapur di simen sekali lagi.
Sangka Maria, hidupnya kembali tenang setelah potret misteri itu dihapuskan. Rupa-rupanya, tanggapannya salah. Seminggu kemudian, sekali lagi Maria menjerit sewaktu masuk ke dapur. Muncul lagi wajah misteri di atas lantai, tepat di mana bahagian yang sama munculnya wajah misteri pertama sebelum ini. Bezanya, wajah misteri yang kedua ini tidak sama dengan yang pertama dulu.
Sekali lagi rumah Maria dipenuhi pengunjung yang taksub dengan lukisan aneh di lantai dapurnya itu. Ketua desa mencadangkan agar potret misteri itu ‘diangkat’ daripada lantai dapur Maria, dan dibingkaikan untuk tatapan umum sebagai salah satu cara untuk mempopularkan desa mereka.
Setelah potret misteri itu ‘dipotong’, lantai rumah Maria terus digali. Pada kedalaman hampir tiga meter, ditemui pelbagai tulang temulang manusia. Penemuan ini membuat penduduk yakin wajah-wajah misteri yang muncul di lantai dapur rumah Maria ada kaitan dengan roh yang tidak tenteram, apatah lagi tapak rumah Maria sebelum itu dikatakan bekas kawasan perkuburan.
Sangka Maria, segalanya telah selesai dengan penemuan tulang-tulang tersebut. Lantai dapur rumahnya juga telah ditimbus dan disimen semula. Tetapi, hidup Maria masih belum aman.
Dua minggu kemudian, muncul lagi wajah baru di tempat yang sama. Kali ini bukan satu, tapi ada dua wajah misteri! Dan ia tidak terhenti di situ. Dari sehari ke sehari, muncul garis-garis baru yang membentuk wajah keempat dan kelima, menjadikan lantai dapur rumah Maria semakin dipenuhi dengan wajah-wajah misteri tersebut.


Maria mengalah. Dia sudah letih untuk memadam wajah-wajah itu. Lantas dibiarkannya saja. Semakin lama, wajah-wajah misteri itu semakin banyak dan bila dikira, ada 18 wajah misteri yang berteraburan pada lantai dapur rumahnya itu. Ada wajah perempuan dan juga lelaki. Ada yang tua, ada yang muda. Kesemua wajah-wajah itu tampak sedih dengan pandangan mata yang sayu.
Rumah Maria juga tidak putus-putus dikunjungi orang ramai. Kerana terlalu ramai pengunjung, Maria tidak lagi dapat menggunakan ruang dapur itu untuk memasak. Sebaliknya, dia terpaksa membina dapur baru di bahagian lain di sisi rumahnya.
Ramai pengkaji turut cuba merungkai misteri wajah-wajah aneh tersebut. Pelbagai andaian dan teori muncul. Ada juga yang menuduh Maria sendiri yang melukis wajah-wajah tersebut. Namun begitu, mereka gagal membuktikan bahan-bahan yang digunakan dan bagaimana Maria dapat melakukannya walaupun mengkajinya di makmal dengan peralatan canggih.
Persoalan kewujudan wajah-wajah misteri itu masih gagal dirungkaikan sehinggalah Maria meninggal dunia pada Februari 2004, di mana Maria telah hidup bersama wajah-wajah misteri itu selama lebih 30 tahun.




_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

