PELAKON Elfira Loy menganggap ibadah umrah yang sedang dilakukan bersama suami, Faris Khairol ketika ini agak mencabar kerana turut disertai dua anaknya, Muhammad Rayyan Khalaf,4, dan Nur Aria Mikayla,lapan bulan.
Elfira yang berada di sana sejak minggu lalu, berkongsi pengalaman luar biasa yang dilalui sepanjang mengerjakan umrah disampingnya anak bongsunya, Aria yang masih menyusu badan.
“Hajjah kecil ini (Aira) kalau dah tidur, baru saya boleh bernafas sikit. Saya rasa bahagian paling susah sikit adalah sebab Aria jenis ‘melekat’ saja dengan saya.
“Lepas tu, menyusu badan lagi kan, jadi mencabar sikit. Tapi sebab memang dah tetapkan dalam fikiran, ‘trip’ (perjalanan) ini untuk anak-anak, jadi saya dan suami lebih tenang sedikit,” tulisnya di Instagram Story.
Jelas Elfira, pada awalnya, dia mengaku timbul perasaan gementar untuk membawa dua anak yang masih kecil ke Mekah.
“Tapi bila kami sudah sampai di Tanah Suci, alhamdulillah, boleh dengan izin Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Elfira sempat berkongsi kepada ibu dan bapa di luar sana yang bercadang untuk membawa anak kecil mengerjakan umrah agar sentiasa bersabar.
“Tips saya untuk membawa anak-anak buat umrah ini kena banyak bersabar. Kena banyak reda kalau kita tak dapat banyak peluang untuk melakukan ibadah.
“Contohnya pergi Raudhah. Hari tu saya sudah tempah slot tapi terlewat 10 minit terus tak boleh masuk.
“Siapa tak sedih kan takkan nak marah pada anak-anak? Apa yang perlu kita buat? Reda saja. Insya-Allah, doa dekat mana pun Allah dengar, harapnya masih ada peluang untuk saya, doakan okay,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Elfira juga memberi pendapat jika mereka betul-betul ingin fokus kepada ibadah, tidak perlu membawa anak kecil.
“Tapi kalau nak betul-betul beribadah, saya tak cadangkan anda (ibu bapa) untuk bawa anak kecil kecuali ada orang yang boleh tolong dan dia betul-betul faham ini untuk tolong jaga anak-anak,” ujarnya.

