SEKITAR tahun 1892, seorang lelaki bernama Jacques Inaudi dari Marseilles, Perancis telah diminta menjalani ujian IQ di Acedemie des Sciences di Paris. Ternyata, ujian tersebut membuktikan bahawa lelaki itu mempunyai IQ yang sangat luar biasa (197), apabila berjaya menyelesaikan masalah daraban nombor dari bilion hingga trilion.

Jacques juga mampu mengingat urutan beratus-ratus nombor yang disebut sekali lalu, seterusnya menyelesaikan kiraan campur, tolak, bahagi dan darab nombor-nombor besar tersebut dengan tepat dan cepat. Semuanya dilakukan menggunakan kekuatan minda semata-mata.

Keupayaan minda Jacques dalam matematik ini amat mengagumkan saintis. Dia digelar ‘manusia kalkulator’. Apabila dikaji, rupa-rupanya Jaques menggunakan keupayaan otaknya secara menyongsang dengan menggunakan otak kiri ke kanan, berbanding dengan manusia biasa yang menggunakan keupayaan otak kanan terlebih dulu sebelum menggunakan otak kiri.

Jacques kemudiannya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, dan dia setuju. Bagaimanapun, untuk permulaan, Jacques meminta supaya terlebih dulu diajar tentang huruf dan mengeja, kerana dia sebenarnya tidak tahu membaca.

Jaques Inaudi, antara manusia yang mempunyai otak genius dalam mengira.

Selain daripada Jacques, seorang lagi manusia yang pernah dicatatkan mempunyai keupayaan luar biasa dalam matematik ialah Rube Fields, berasal dari Missouri, Amerika Syarikat. Ketika kecil, Fields menolak untuk ke sekolah dengan mengatakan, “Saya tidak mahu jadi bodoh seperti orang lain!”

Biarpun tidak bersekolah, Fields mampu untuk menjawab sebarang permasalahan matematik yang diberikan kepadanya. Dia bukan sahaja mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut, malah mengambil masa yang amat singkat, biarpun permasalahan itu sangat rumit.

Dilaporkan ketika itu, apa sahaja permasalahan yang melibatkan angka, Fields akan berjaya menyelesaikannya menggunakan kekuatan mental. Dalam satu ujian yang dilakukan, lima helai kertas mengandungi turutan nombor dibaca di hadapannya. Mengejutkan, sebaik sahaja nombor terakhir disebut, Fields memberikan satu angka yang tepat bagi jumlah keseluruhan angka dalam lima helai kertas tersebut setelah dicampurkan.

Lebih mengagumkan, Fields dapat mengetahui jumlah putaran roda kereta yang tepat dengan hanya berpandukan berapa jarak kereta itu telah bergerak. Bagaimanakah Fields boleh mempunyai kebolehan itu? Lelaki itu tidak dapat menjelaskannya.

Kim Un Yong, antara yang pernah dicatatkan sebagai manusia genius.

Pernah juga dilaporkan kisah seorang kanak-kanak lelaki dari Korea Selatan bernama Kim Ung Yong dikatakan mempunyai otak kalkulator. Kim yang dilahirkan pada 8 Mac 1962 adalah anak kepada sepasang suami isteri yang bergelar profesor.

Dia mampu menyelesaikan permasalahan matematik seawal usia empat tahun lagi. Selain itu, Kim juga berjaya menguasai empat bahasa sebelum mula bersekolah rendah. Kim juga pernah tercatat dalam rekod dunia Guinness sebagai orang yang mempunyai IQ tertinggi (210).

Selain itu, Shakuntala Devi yang lahir di Bangalore, India pada 1929, adalah antara individu yang bertuah kerana dianugerahkan dengan kelebihan luar biasa dalam matematik. Dia digelar sebagai ‘manusia komputer’ kerana berjaya menyelesaikan daraban 13 angka yang dipilih oleh Jabatan Komputer Imperial College London dalam masa 28 saat sahaja.

Sebenarnya, di dalam dunia, skala IQ yang digunakan adalah 150 bagi mewakili golongan yang mempunyai otak yang genius. Selalunya, hanya seorang daripada sepuluh ribu orang yang mempunyai tahap IQ melebihi skala 160.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare