memanggil gelaran buruk

Dalam perhubungan kita sesama manusia, sebenarnya tiada kesulitan untuk menarik hati orang lain, ada banyak amalan ringan pengikat hati yang diajarkan Rasulullah s.a.w. Salah satunya adalah memanggil seseorang itu dengan panggilan yang disukainya.

Memanggil dengan panggilan terbaik dapat menarik hati orang lain kerana tidak ada yang disukai seseorang selain dirinya sendiri. Sehingga ketika ada orang lain memanggil dengan nama kesayangannya dan terus memanggil dengan nama panggilan tersebut, maka dia akan merasa dihormati dan disayangi.

Begitu juga sebaliknya. Mengenai panggilan juga, selain ianya dapat mengambil dan menggembirakan hati orang yang dipanggil, ia juga adalah salah satu lambang budi bahasa yang ada pada diri kita.

Namun begitu pada hari ini masih terdapat dalam kalangan kita yang tidak peka terutama jika mendengar hos rancangan di platform media atau peniaga atas talian yang kerap pukul rata menggunakan perkataan kurang sesuai terhadap pendengar atau penonton mereka. Contoh ketara adalah menggunakan perkataan korang, mak cik, pak cik, awak dan sebagainya sedangkan audien atau pelanggan mereka terdiri dari pelbagai golongan, apatah lagi mereka sendiri tidak mengenali siapa sebenarnya penonton rancangan mereka.

Alangkah lebih elok jika menggunakan gelaran yang lebih sesuai dan dianggap terhormat seperti tuan atau puan sebagai memuliakan penonton mereka. Begitu juga memanggil orang lain dengan gelaran yang kurang enak, mengaibkan atau buruk. Bukan sahaja tidak menghormati orang tersebut malah boleh menimbulkan permusuhan. Sedangkan pepatah Melayu kerap menyebut yang tua dihormati dan yang muda disayangi.

Apatah lagi Melayu itu terkenal dengan budi bahasanya yang tinggi, dan Islam pula mensyariatkan umatnya untuk menghormati dan memuliakan seseorang.  

Bercerita lanjut tentang isu ini Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah akan menjelaskan semuanya mengikut syarak.

Menurutnya, Islam menganjurkan umatnya memanggil seseorang dengan panggilan yang orang itu sukai. Tidak kisah apa sekalipun, tetapi jika dia menyukai orang panggil dengan nama dan gelaran itu, kita harus memanggilnya.

Dalam masyarakat kita, gelaran boleh jadi dua maksud yang berbeza sama ada positif dan negatif. Apa yang dikatakan dengan gelaran positif ialah memberi gelaran kepada seseorang mengikut keutamaan sama ada dalam keluarga, jiran tetangga atau masyarakat umum. Contohnya gelaran positif ialah ayah, ibu, mak su dan mak lang, bagi dalam keluarga. Manakala gelaran doktor, cikgu, bomba pula digelarkan kepada pekerjaan yang mulia dalam masyarakat.

Selain itu, terdapat juga gelaran yang bersifat negatif iaitu memberi gelaran kepada perkara negatif yang ada pada seseorang tersebut termasuk fizikal dan mental. Seperti contoh memanggil seseorang dengan panggilan “hei gemuk” “hei bodoh” “hei lembab” hei kafir” dan sebagainya. Keadaan ini yang amat ditegah dalam Islam.

Tetapi ia berlainan dengan isu yang disebut di atas. Isu itu adalah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil-dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas sama ada untuk menyokong atau melarang.

Dalam masyarakat Melayu, amat terkenal dengan budi bahasa yang menjadi lambang keperibadian seseorang. Orang yang berbudi pasti disayangi. Itu yang selalu disebut-sebut oleh ibu bapa dalam mendidik anak mereka. Dan uniknya agama Islam kerana sentiasa menyokong nilai-nilai murni lain meskipun tiada dalil yang khusus. Ia termasuk dalam bab akhlak Islam.

Disebabkan itu gelaran positif iaitu cara memanggil atau menggelarkan orang lain amat penting dalam kehidupan kita sesama masyarakat. Dalam bab gelaran ini, Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya memanggil seseorang dengan gelaran yang disukai oleh orang yang dipanggil. Ia sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.

“Dzayyal bin ‘Ubaid bin Hanzalah menceritakan kepada kami, dia berkata: “Datukku, Hanzalah bin Hisyam menceritakan kepadaku ia berkata: “Nabi s.a.w. suka jika seseorang dipanggil dengan nama dan kun-yah (gelaran) yang disukai oleh orang tersebut.” (HR at-Tabrani).

Saling menghormati sesama manusia tanpa mengira usia atau pangkat adalah tuntutan dalam Islam

Justeru nasihat Wan Nasyrudin lagi, jika pengacara atau peniaga atas talian menggunakan perkataan yang lebih sesuai bagi menampakkan lebih formal itu tidak menjadi masalah. Tidak salah tindakannya itu bahkan patut dipuji kerana sanggup menggunakan budi bahasa serta sopan santun yang sebenarnya mula terhakis pada segelintir generasi muda hari ini.

Tuntasnya lagi, apa yang berlaku menunjukkan masyarakat kita sekarang terutama generasi muda hanya mempelajari ilmu, tetapi tidak mempelajari adab. Meninggalkan pelajaran adab dalam pembelajaran ilmu adalah sesuatu yang sangat merugikan dan implikasinya akan terjadi seperti yang berlaku pada hari ini. Maka lahirlah generasi baru yang kononnya pandai serba serbi tetapi tiada adab dan akhlaknya juga tidak elok dalam berdepan dengan masyarakat.

Mereka akan tergolong dalam golongan orang berilmu tetapi tidak ada rasa hormat dengan ilmu orang lain dan sentiasa merasakan dirinya betul walaupun berdepan dengan orang yang lebih tua. Memang orang tua tidak semestinya betul, tetapi ekoran pembelajaran adab, orang tua perlu dihormati.

Seumpama orang dahulu yang warak, meskipun mereka tahu apabila solat dalam jemaah, saf yang paling depan lagi afdal, tetapi jika ada orang tua, mereka akan mendahulukan orang tua dan berundur memberi ruang. Itu adab yang ditunjukkan oleh alim ulama. Tetapi masyarakat sekarang terutama anak muda kurang adab meskipun belajar di peringkat yang tinggi.

Hormat biar apa usianya

Dalam bab memberi gelaran juga, Dr. Wan Nasyrudin ingatkan agar tidak terlalu ghairah memanggil semua orang dengan panggilan-panggilan yang tidak sepatutnya. Meskipun kita tidak mengenali orang itu, tapi Islam menetapkan cara bagaimana untuk berkomunikasi dengannya. Tiada contoh terbaik sebaik kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dalam segenap perkara. Rasulullah s.a.w. sangat menghormati umatnya walaupun seorang anak kecil.

Tercatat dalam sebuah hadis seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik,

“Nabi adalah orang yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang biasa dipanggil Abu Umair, suatu ketika Nabi datang dan menyapanya. “Wahai Abu Umair, apa yang terjadi dengan Nughair ?” (H.R Bukhari)

Menerusi hadis di atas jelas, Rasulullah s.a.w. memilih untuk memanggil kanak-kanak itu dengan panggilan Abu Umair seperti yang orang lain panggil. Padahal, boleh saja Rasulullah s.a.w. memanggil kanak-kanak itu dengan panggilan, ‘hei budak’ dan sebagainya, tetapi Rasulullah s.a.w. tetap menghormati anak itu dengan memanggilnya nama panggilan biasa.

Begitu juga dengan memberi gelaran tuan, puan atau sebagainya terhadap seseorang yang baru dikenali sebagai tanda hormat, itu juga tiada salahnya. Dalam masyarakat Melayu kita, gelaran telah disenaraikan dengan begitu cantik, cuma terpulang kepada individu itu sendiri sama ada ingin menggunakannya atau tidak. Seumpama memberi gelaran uan, menerusi firman Allah,

Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan salat di mihrab (katanya): “”Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang putramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi tuan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang saleh. ( Al-Imran : 39)

Imam al-Qurtubi mengulasnya dengan menyebut pada ayat itu suatu dalil berkenaan keharusan menamakan seseorang sebagai sayyid (tuan), sebagaimana harus untuk digelar yang mulia (Jami’ ahkam al-Quran)

Nabi s.a.w juga pernah bersabda,

“Sesungguhnya anakku (cucu) ini adalah sayyid (tuan) dan moga-moga melaluinya Allah akan memperdamaikan dua puak dari kalangan Muslimin” ( HR al-Bukhari).

Justeru, berdasarkan kepada dalil di atas dan beberapa pandangan ulama menyatakan tiada halangan untuk meletakkan gelaran tuan kepada orang lain selain Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan gelaran-gelaran lain seperti tuan haji, ustaz, Doktor, Datuk, Syeikh, Tok Guru dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa serta pengiktirafan kepada mereka.

Gelaran itu diberikan dengan selayaknya kepada pemilik. Jika seseorang itu doktor, tidak kira doktor perubatan atau doktor pendidikan, maka selayaknya dipanggil doktor dengan pencapaian yang dimiliki. Panggilan atau gelaran seumpama itu bukan saja-saja, tetapi ia sebagai tanda hormat dan budi bahasa kita dalam masyarakat. Perbahasan memberi gelaran juga berbeza mengikut budaya dan tempat.

Seumpama di negara Arab, gelaran seperti Tun, Datuk, Datin, Tuan, dan sebagainya seperti dalam masyarakat Melayu tidak wujud. Yang ada hanyalah panggilan-panggilan seperti Syeikh, Amirul Mukminin dan lain-lain.

Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w. pernah memanggil Abu Bakar dengan nama sahaja walaupun sahabatnya itu juga bapa mertua Baginda. Jika dalam masyarakat kita, memanggil bapa mertua dengan nama, pasti dikatakan kurang ajar, tetapi tidak untuk bangsa Arab.

Begitu juga dengan budaya di Barat, panggilan ‘you’ itu terlalu menyeluruh dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Penggunaan gelaran dan panggilan nama juga menjadi kebiasaan dan adat di sana. Tapi, orang Melayu mempunyai budi bahasa yang tinggi sehingga setiap orang dalam keluarga ada gelaran tersendiri dan begitu juga dalam masyarakat. Wallahu a’lam

______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’