KERAJAAN MADANI kekal beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil serta berteraskan pencapaian yang membanggakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran yang lebih berani.
Jelas beliau, ia dengan meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion, menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu serta membimbing lahirnya Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih mapan dan berdaya saing.
“Justeru, pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh, daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan, hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.
“Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan Bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam masa yang sama, katanya akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque.
Lantaran itu, katanya lagi, sesi meja bulat ini bukan sekadar penyuguhan idea, tetapi medan penting untuk melarai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan Bumiputera.
“Kerajaan mendengar, menilai, dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.
“Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang Madani,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

