Beri kebebasan Wanita UMNO jalankan hak demokrasi
KETUA-Ketua Wanita UMNO negeri dilaporkan telah didesak untuk membuat kenyataan terbuka untuk menyokong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengetuai sayap itu bagi penggal akan datang.
Perkara tersebut didedahkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kinabatangan, Aminah Johan dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aminah, beliau menyatakan kekecewaan dan terkilan sekiranya tindakan tersebut adalah benar kerana pimpinan Pusat akan dilihat memaksa sokongan daripada Ketua Wanita UMNO negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan Wanita supaya memberi kebebasan kepada ahli di akar umbi menjalankan hak demokrasi memilik Ketua Wanita yang benar-benar layak dan mampu memimpin.
“Sudah pasti Ketua Wanita UMNO negeri-negeri akan terpaksa menyatakan sokongan seperti mana yang diarahkan kerana mereka dilantik ke jawatan Ketua Wanita UMNO negeri oleh Ketua Wanita UMNO.
“Kami sokong kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden kerana mereka memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Ketua Wanita UMNO, Noraini yang gagal?
“Pertandingan di pucuk pimpinan Wanita UMNO pula tidak akan memberi kesan kepada kestabilan kerajaan kerana Noraini tiada jawatan dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aminah menegaskan apa-apa kenyataan dibuat Ketua Wanita UMNO negeri tanpa muafakat dan persetujuan daripada semua Ketua Wanita UMNO Bahagian tidak mewakili suara dan hasrat Wanita di bahagian-bahagian.
Beliau turut menyokong supaya jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita dipertandingkan.
“Ini supaya akar umbi dapat membuat pilihan yang terbaik siapa yang layak memimpin kami.
“Memaksa sokongan secara di media hanya akan memberi gambaran palsu dan memecahbelahkan kesatuan Wanita.
“Biarlah kempen dan pertandingan berjalan dengan sihat serta membina. Usah paksa dan usah cerca. Wanita UMNO ini ibu terbaik bangsa,” jelas beliau.
Kelmarin, majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian dilaporkan mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO selepas pemilihan parti itu bulan depan.
Noraini yang mengetuai Wanita UMNO sejak tahun 2018 pula dilaporkan bakal mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan akan datang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

