[VIDEO] Ambil sisi berbeza konflik percintaan yang sering diketengahkan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KUMPULAN rock alternatif, motherwit melancarkan video lirik lagu berjudul d.antara dengan penampilan khas Shuhusna pada 6 Februari lalu.

d.antara merupakan single kedua dari EP anteseden yang akan dilancarkan di semua platform digital utama pada 4 Mac ini.

Menurut vokalis dan gitaris, Sahaq Ibrahim, lagu tersebut merupakan perantara untuk dua haluan muzik berbeza yang dibawakan motherwit.

“Lagu ini diletakkan sebagai trek ketiga daripada lima lagu yang akan dimuatkan dalam EP kami. Tujuan ia diletakkan di tengah-tengah kerana ia merupakan perantara untuk dua haluan yang kami bawa.

“Dua lagu pertama lebih dekat dengan haluan muzik dalam EP pertama kami, archived demo, manakala dua lagu terakhir lebih dekat dengan haluan baharu motherwit,” katanya.

Sahaq yang juga komposer utama untuk motherwit berkata, d.antara bercerita tentang konflik pasangan yang sudah menjalinkan hubungan dalam tempoh yang lama.

“Kami cuba teroka sisi berbeza dalam percintaan, terutamanya untuk mereka yang dah bercinta lama. Biasanya konflik yang diangkat dalam mana-mana karya seni adalah tentang pasangan curang atau hubungan yang akhirnya terputus.

“Dalam d.antara, konflik utamanya adalah komunikasi. Apabila bercinta dalam tempoh yang lama, kadang kala hubungan jadi kelam dan tawar, tapi pasangan ini masih mencintai satu sama lain.

“Satu pihak ambil mudah terhadap pasangannya dan pasangannya itu pula sudah terlalu percaya yang mereka saling menyayangi menyebabkan dia tidak berusaha untuk menunjukkan kasih sayangnya. Perhubungan itu akhirnya menjadi suram.

“Ini konflik senyap yang banyak berlaku pada pasangan sudah lama bercinta atau berkahwin. Keterujaan bercinta pada awal perhubungan mereka perlahan-lahan hilang walaupun kedua-duanya masih sayang.

“Semuanya tentang komunikasi. Pasangan yang sudah terlalu selesa antara satu sama lain suka bergantung kepada rasa yang ada dalam hati tanpa mengungkapkannya.

“Ini yang kami cuba teroka dalam d.antara. Kami ambil sisi berbeza daripada konflik yang biasa diketengahkan dalam lagu-lagu sedia ada dalam pasaran,” jelasnya.

Selain membawa tema lirik dan susunan yang unik, d.antara juga merupakan lagu pertama motherwit yang menampilkan vokalis jemputan.

Bagi Shuhusna, peluang berkolaborasi dengan motherwit dalam lagu ini sangat mengujakan.

“Pertama kali dengar lagu ini, saya terus terima pelawaan motherwit.

“Bahagian ‘verse’ dan korusnya ada rasa gembira dan manis tetapi menuju penghujung, ia jadi gelap dan kucar-kacir.

“Saya kagum dengan peralihan antara dua bahagian itu. Tak terfikir pula lagu yang awalnya gembira boleh bertukar menjadi begitu gelap.

“Saya diberitahu yang lagu itu mengenai percintaan atau perkahwinan. Saya boleh faham sebab begitulah perkahwinan, tak semuanya indah selalu. Lagu ini pun begitu, ada suka dan dukanya,” kongsinya.

Versi audio d.antara akan mula diperdengarkan pada 24 Februari ini di semua platform digital.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Air mata Che Ta gugur iringi pernikahan anak sulung, titip nasihat rumah tangga

SUASANA penuh syahdu bersulami linangan air mata gembira mengiringi detik bersejarah buat keluarga aktres Rozita Che Wan, apabila anak...

More Articles Like This