KERAJAAN Perpaduan tidak melihat isu dominasi kaum Melayu dalam sektor perkhidmatan awam sebagai satu masalah ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memaklumkan pentadbirannya tidak akan mempertimbangkan cadangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang meminta kerajaan melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi orang Melayu.
Anwar menegaskan cadangan Ramasamy itu hanya pandangan peribadinya dan tidak mewakili pendirian DAP atau mempengaruhi Kerajaan Perpaduan dalam memutuskan dasar berkaitan.
“Itu pandangan peribadi dia. Kalau perlu timbang, kita timbang. Tapi itu pun bukan pandangan DAP.
“Perkara ini kita tidak buka saluran untuk kita pertimbangkan kerana keadaan sekarang, saya tidak fikir itu satu masalah.
“Tapi kita jangan melarang orang bercakap, memberi pandangan. Boleh (beri pandangan), tapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan,” katanya memetik laporan BH.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
BERITA BERKAITAN Isu Melayu dalam perkhidmatan awam: Ramasamy ‘jangan bermain api’ – Pemuda UMNO
Perdana Menteri mengulas kenyataan Ramasamy menerusi Facebook semalam, yang meminta Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu ketika ini.
Ramasamy berkata, alasan kononnya penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi, seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
Katanya, alasan mengatakan orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat dan sebagainya juga tidak lagi boleh digunakan kerana ia satu bentuk diskriminasi kaum, sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi.
Justeru, Ramasamy mahu Anwar segera menangani isu dominasi satu kaum dalam perkhidmatan awam, dan boleh secara perlahan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik di negara ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

