PEMUDA UMNO mengingatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy agar tidak ‘bermain api’ atau ‘menjolok sarang tebuan’ dengan sengaja membangkitkan isu monolopi kaum Melayu di dalam perkhidmatan awam yang dianggap menghina kaum tersebut.
Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri.
“Ramasamy mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan Perdana Menteri disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati.,” katanya dalam satu kenyataan yang bertajuk ‘Saya Jawab Ramasamy.’
Ramasamy melalui kenyataan di Facebooknya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berikut ialah kenyataan penuh Hasmuni :
SAYA JAWAB RAMASAMY
“Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim supaya “memecah monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam”.
Katanya lagi, monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam adalah “dasar Mahathirisme” kononnya untuk mengimbangi ‘penguasaan’ orang Cina dalam ekonomi melalui kemasukan pelabur asing dan pertumbuhan syarikat berkaitan kerajaan.
BERITA BERKAITAN Perkasa sistem pengangkutan awam di ibu negara
Beliau juga menolak alasan bahawa orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam disebabkan kekurangan prospek kenaikan pangkat.
Pertama, saya mahu menjawab Ramasamy jangan menghina orang Melayu seolah-olah orang Melayu “tidak boleh pergi jauh” dan hanya bergantung pada bekerja dengan kerajaan semata-mata.
Isu ini tidak perlu disebut-sebut lagi pun. Orang Melayu bekerja dengan kerajaan disebabkan rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kredibiliti mereka dalam pekerjaan tersebut.
Mereka memasuki perkhidmatan awam dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dan standard.
Kedua, orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam kerana mereka memikirkan skim gaji yang kecil.
Sementara orang Melayu sanggup berkhidmat dengan kerajaan atas semangat payriotisme dan memastikan agar negara dapat ditadbir dengan baik.
Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri.
Ramasamy jangan bermain api atau “menjolok sarang tebuan” dengan sengaja membangkitkan perkara ini hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap Perdana Menteri.
Ramasamy mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan Perdana Menteri disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati.
Kita “bermain di padang yang rata”.”
Setiausaha Pemuda UMNO
Datuk Hasmuni Hassan

