KIRA-kira 1,400 pemain golf tempatan dijangka menyertai Edisi ketiga saingan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) untuk berebut tempat ke pusingan akhir Kejohanan Golf Pemain Amatur Dunia (WAGC) yang akan diadakan di Phuket, Thailand hujung tahun ini.
Seperti sebelumnya, sebanyak 14 lokasi atau kelab golf dipilih untuk menjadi tuan rumah pertandingan ini dengan dianggarkan kira-kira 1,400 pemain termasuk dari Sabah dan Sarawak, bakal menyertainya.
Pusingan akhir PNAGS akan diadakan di The Els Club Teluk Datai, Langkawi pada 22 hingga 24 Oktober ini yang membabitkan lima pemenang kategori berdasarkan lima kategori, manakala final WAGC ditetapkan di Laguna Phuket Golf Club, Phuket, Thailand, 4 hingga 11 November.
Presiden WAGC, Isac Saminathan berkata format pertandingan adalah strokeplay dengan lima pemenang setiap kategori handikap akan mewakili negeri masing-masing pada pusingan akhir di Langkawi.
Katanya, saingan PNAGS terbuka kepada pemain lelaki dan wanita yang memiliki handicap rasmi WHS (0 hingga 25) dan berusia 18 tahun ke atas.
“PNAGS menawarkan peluang baik kepada pemain golf amatur, kelab golf, pembekal dan agensi berkaitan untuk sama-sama mengalakkan sukan dan interaksi antara kalangan komuniti pemain golf,” katanya pada perasmian PNAGS edisi ketiga di Shah Alam, semalam.
BERITA BERKAITAN WAGC pentas terbaik cungkil bakat pemain golf muda ke Sukan SEA 2023
Perasmian disempurnakan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. Sempena majlis itu juga, Tengku Muhammad diumumkan sebagai Duta WAGC. Hadir sama Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.
Isac berkata tahun lalu lebih 1,200 pemain tempatan menyertai saingan PNAGS manakala kira-kira 500 lagi yang mewakili 40 negara bersaing pada final WAGS yang diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Glenmarie Golf and Country Club, Kota Permai Golf and Country Club dan Kelab Rahman Putra.
Tahun lalu, kejuaraan kategori utama saingan PNAGS dimenangi Mohd Firdaus Ahmad manakala acara berpasukan WAGC menjadi milik pasukan negara yang mengenepikan cabaran Thailand.
Pembukaan PNAGS tahun ini akan diadakan di Selangor dengan Impian Golf and Country Club, Kajang menjadi tuan rumah pada saingan yang dijadualkan 2 Mac ini, sebelum diikuti Wilayah Persekutuan pada 16 Mac di Kota Permai Golf and Country Club.
Selepas itu, ia akan diadakan di Kelantan pada 11 Mei membabitkan Kelantan Golf and Country Club; Terengganu pada 25 Mei (Royal Pekan Golf Club), Pahang (Mahkota Golf and Country Club – 8 Jun), Johor (Palm Resort Golf and Country Club – 22 Jun), Melaka (Afamosa Golf Resort – 6 Julai).
Di Negeri Sembilan ia akan diadakan di Staffield Country Club pada 20 Julai, diikuti Perlis (Kelab Golf Sultan Sallehuddin UUM – 3 Ogos), Kedah (Darulaman Golf and Contry Club – 17 Ogos), Pulau Pinang (Bukit Jawi Golf Resort – 7 September), Perak (Meru Golf Golf and Country Club – 14 September).
Di Sarawak, ia akan diadakan di Kelab Golf Sarawak pada 21 September, sebelum ke Sabah pada 5 Oktober (Sabah Golf and Country Club).
Selain Perodua selaku penaja utama gelaran PNAGS dan WAGC, pertandingan ini turut mendapat sokongan 22 jenama lain seperti Panasonic, Srixon, Spectrum, Outdoor, Les Copaque Production Sdn Bhd dan VIN Distribution.
Ia turut mendapat perakuan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA), Kementerian Belia dan Sukan serta Tourism Malaysia.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

