BARISAN pemain muda yang dipilih menggalas cabaran negara pada Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2022 perlu mempamerkan ‘magis’ sekiranya mahu disenaraikan ke Sukan SEA Kemboja 2023.
Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata lima pemain dipilih itu tidak pernah mewakili negara pada mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa dan mereka perlu berusaha mendapatkan mata merit secukupnya bagi menempatkan diri dalam pasukan kebangsaan.
Lima pemain berkenaan ialah Mohd Firdaus Ahmad, Ryan Loh, Mohammed Faisal Hussain, T. Magenthiran dan Syahril Hirman Azmee.
“Pemain yang akan bermain dalam WAGC tidak ada dalam pasukan kebangsaan, sebaliknya mereka menang di Kejohanan Amatur Kebangsaan 2022 pada Sabtu lepas. Saya rasa kejohanan berkenaan memang berjaya sebab mencungkil bakat pemain amatur baharu.
“Untuk ke Sukan SEA yang akan datang, kita akan melihat prestasi mereka berdasarkan mata merit dalam Ranking Golf Dunia Amatur (WAGR) yang ditetapkan MGA. Jadi kalau mereka ada WAGR yang tinggi dan boleh beraksi lebih baik daripada pemain kebangsaan sedia ada, mereka boleh ke Sukan SEA,” katanya.
BERITA BERKAITAN Adam Ariff rangkul gelaran juara Cabaran Golf TSM
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran WAGC yang akan disertai kira-kira 500 peserta daripada 40 negara bermula 12 hingga 19 Nov depan.
Kejohanan berkenaan akan diadakan di empat kelab golf, iaitu di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Kelab Golf & Country Glenmarie, Kelab Golf & Copuntry Kota Permai dan Kelab Rahman Putra Malaysia.
Mohd Anwar berkata ketika ini, terdapat 30 pemain kebangsaan yang bernaung di bawah MAG masih menuntut di peringkat kolej dan universiti di Amerika Syarikat, namun masih konsisten mempunyai ranking WAGR yang baik.
Pada Sukan SEA Mei lepas, pemain berusia 24 tahun, Ervin Chang mencipta sensasi apabila muncul pemain Malaysia yang julung kali dikalungkan pingat emas Sukan SEA bagi acara individu di Heron Lake Golf Course & Resort, Vinh Phuc, Vietnam.
Seterusnya, beliau bersama-sama dengan Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A. Nateeshvar membantu Malaysia merampas kembali pingat emas dalam acara berpasukan selepas dua dekad dengan mengalahkan Thailand 2-1 di final.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

