“Mi’raj Ruhi” rupanya ini hadiah istimewa Allah SWT kepada hamba Nya ketika Baginda Israk Mi’raj

Dari Penulis

Kesedihan menggoncang jiwa Rasulullah dek kehilangan teman hidup, Abi Talib dan Siti Khadijah yang telah berkorban segala-galanya untuk perjuangan Islam. Ditambah dengan layanan kejam penduduk Thaif, gara-gara usaha Baginda menyebarkan dakwah Islam, maka tahun itu dinamakan tahun berduka cita atau ‘Aam al Huzni’. Di saat kesedihan melanda, Jibril datang membawa khabar gembira, mengiringi Baginda untuk bertemu PenciptaNya melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Ibarat satu perjalanan kilat Rasulullah pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha. Bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama. Itulah keajaibannya, bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, memberi seribu satu hikmah untuk Rasulullah dan umat Islam keseluruhannya.

Sekalipun ia mustahil dapat dijangkau oleh pemikiran manusia, namun selaku umat Islam itulah yang wajib dipercayai, segala yang berlaku adalah kehendak Allah. Seperti firman Allah,

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”  (al-Israa’: 1)

Perjalanan satu malam inilah, umat Islam dihadiahkan dengan kewajipan mengerjakan solat lima waktu. Ia adalah secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril. Namun persoalannya, mengapa perintah solat ini terus dari Allah tidak seperti ibadat yang lain?

Menjawab persoalan itu, menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Nazir Alias, ibadat solat merupakan tiang asas bagi agama Islam. Sekiranya tiang ini runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan dengan agama.

Justeru, kewajipan ibadat solat diperintahkan terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui peristiwa Israk dan Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibri. Sekaligus bukti menunjukkan keagungan dan keistimewaan solat itu sendiri.

Allah memfardukan solat supaya menjadi penghubung denganNya. Lebih dari itu, ia sebagai peringatan dan tanda kesyukuran ke atas nikmat yang dicurahkan Nya. Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam.

Maka tidak hairanlah sekiranya perkara yang mula-mula dihisab atau diadili pada hari akhirat ialah solat. Jika seseorang itu tidak solat maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah,

“Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba pada hari kiamat dari amal-amalnya ialah solatnya, jikalau solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jikalau amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung.” (HR Imam al-Tirmizi)

Subhanallah, betapa beruntungnya kita umat Muhammad kerana diberikan ibadah solat

Tambahnya lagi, solat juga dijadikan sebagai salah satu dari rukun Islam yang menggambarkan kepentingan perlaksanaannya oleh seorang Muslim. Jika solat tidak dilaksanakan, maka agama seseorang itu tidak sempurna. Sabda Rasulullah,

Islam itu dibangunkan atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke rumah Allah (Baitullah) dan puasa di bulan Ramadan.” (HR Imam al-Bukhari).

Tidak hairanlah, solat sebagai mikraj bagi setiap Muslim. Jika Nabi Muhammad s.a.w ‘dimikrajkan’ ke langit yang tinggi, kita sebagai umatnya mempunyai mi’raj ruhi yang mana boleh naik dengannya melalui ibadat solat.

Apabila seseorang itu melaksanakan solat lima waktu, dia sebenarnya telah patuh dan taat sepenuhnya kepada Allah. Walaupun dia tidak tahu kepentingan solat dan bilangan-bilangan rakaat solat kepada dirinya secara khusus tetapi dia tetap melaksanakannya sebagai tanda perhambaan dan kepatuhannya kepada Allah.

Ketika solat seseorang itu akan meninggalkan segala kesibukan urusan hariannya dan melupakannya buat sementara waktu semata-mata mahu mengingati Allah. Walau sibuk mana sekali pun, walau penat mana sekali pun kehendak dan perintah Allah tetap didahulukan oleh seseorang yang melaksanakan solat seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis,  

Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad.” (HR Imam al-Tarmizi)

Solat dapat menyedarkan jiwa setiap Muslim bahawa urusan dunia ini hanyalah sementara sahaja dan suatu hari kita akan meninggalkannya. Melalui solat, kita akan melupakan kesibukan dunia ini buat sementara bagi mengingati Allah dan akhirat yang bakal ditempuhi untuk selama-lamanya.

Adapun kewajipan solat lima waktu yang diterima bukan sebagai bebanan untuk menyeksa, sebaliknya solat adalah ubat mujarab dalam mengubati pelbagai penyakit. Jika kesedaran ini mekar dalam jiwa seorang Muslim, maka secara mudah dia dapat menjauhi perkara yang keji dan jahat. Sebagaimana firman Allah,

Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 54).

Solat pada hakikatnya mendidik jiwa seorang Muslim supaya sentiasa menyedari bahawa hanya Allah sahajalah yang layak dibesarkan dalam kehidupan kerana dariNya bermulanya kehidupan ini. Wallahu a’lam

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pengurusan Islam Malaysia Diiktiraf di Mekah, Dr. Zulkifli Bawa Suara Negara ke Pentas Global

MALAYSIA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa pemikir dalam dunia Islam apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),...

More Articles Like This