Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

KERTAS Putih perolehan vaksin COVID-19 akan dibentangkan ke Dewan Rakyat secepat mungkin.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini ia masih dalam proses melengkapkan semua data dan maklumat perolehan vaksin COVID-19 yang diperoleh ketika darurat dilaksanakan.

“Belum ada jangka masa yang ditetapkan untuk Kertas Putih itu dibentang ke Dewan Rakyat kerana kita masih dalam proses lagi.

“Namun ia akan dilakukan (dibentang di Dewan Rakyat) secepat mungkin. Jika siap, kita akan terus bentang kepada Kabinet dan kemudian jika dapat kelulusan akan dibentang di Parlimen.

“Kita telah tubuhkan jawatankuasa untuk melihat dari sudut penyediaan Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, yang ketika ini sedang dalam proses,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Baca artikel lain: Sukan instrumen penyatuan Malaysia Madani – Wan Azizah

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah (HSA), hari ini.

Pada 9 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, bagi memastikan ketelusan urusan berkenaan yang dibuat semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, dokumen itu bagi memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin berkenaan dengan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan bagi memastikan ketelusan demi manfaat rakyat keseluruhan.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memaklumkan KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram