Bersama ADILLAH NORDIN. LLB (Hons) Nottingham University, Barrister-At-Law (Middle Temple (London))
SOALAN :
Saya merupakan seorang ibu tunggal dan baru sahaja bernikah dengan lelaki bujang, 10 tahun lebih muda daripada saya. Saya mempunyai dua orang anak perempuan, berusia 17 dan 19 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.
Walaupun saya percaya dan amat menyayangi suami saya, namun saya masih berasa khuatir jika berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada saya suatu hari nanti. Bagaimana nasib anak-anak saya nanti? Maklum sahajalah suami masih muda dan mungkin sewaktu ketiadaan saya nanti dia akan mencari pengganti.
Bagaimanakah cara untuk memastikan hak anak-anak saya dilindungi sekiranya berlaku perkara yang tidak dingini kepada saya? Saya ada mengumpul sedikit harta dan simpanan sebelum perkahwinan saya dengan suami baru. Saya ingin harta dan simpanan tersebut diberikan kepada anak-anak saya apabila saya tiada lagi. Ini kerana ia merupakan hasil dari titik peluh saya sendiri untuk jamin masa depan anak-anak saya. Harap Wanita dapat memberikan nasihat.
JAWAPAN :
Puan merupakan seorang ibu yang penyayang, berfikir jauh ke hadapan untuk menjamin masa depan anak-anak walaupun sudah bertemu pilihan hati untuk memulakan penghidupan baru. Tahniah diucapkan.
Sememangnya kita semua perlu membuat persediaan dan perancangan berkenaan dengan harta dan simpanan apabila kita tiada lagi. Telah banyak Wanita lihat anak-anak yang tidak tahu arah tuju apabila ayah dan ibu pergi secara mengejut.
Sekiranya puan ingin melindungi hak anak-anak puan, puan perlu membuat persediaan awal.
Wanita nasihatkan puan membuat senarai kesemua harta, aset dan simpanan yang telah puan perolehi setakat ini seperti berikut:-
• Rumah / Hartanah
• Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF)
• Amanah Saham (ASB/ASN/ASW)
• Akaun Tabung Haji
• Akaun-Akaun Bank
• Saham-Saham
• Insurans
• Kereta
Bagi KWSP, Akaun Tabung Haji dan Insurans, puan boleh mendaftarkan nama anak-anak puan sebagai nominee atau benefisiari agar terjadi sesuatu pada puan, wang yang terkumpul akan dibayar terus kepada anak-anak. Puan hanya perlu pergi ke pejabat KWSP, Lembaga Tabung Haji dan syarikat insurans yang berkenaan dan mengisi borang yang disediakan.
Bagi rumah dan hartanah, puan ada dua pilihan iaitu sama ada untuk terus memindah milik nama di geran rumah dan hartanah tersebut kepada nama anak-anak sekiranya umur mereka sudah pun mencecah 18 tahun ataupun puan boleh menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah (Trust Deed) yang mana menyatakan bahawa rumah dan hartanah tersebut dipegang oleh puan sebagai pemegang amanah untuk anak-anak yang merupakan benefisiari kepada rumah dan hartanah tersebut.
Surat ikatan amanah ini boleh didaftarkan di pejabat tanah yang relevan. Ini akan menjamin hak anak-anak ke atas rumah dan hartanah tersebut.
Bagi harta dan aset yang lain, puan juga boleh membuat wasiat untuk mewariskan setiap harta seperti wang yang terkumpul di dalam akaun bank, kereta dan saham-saham kepada anak-anak.
Pilihlah seorang ahli keluarga yang rapat dan boleh dipercayai sebagai pemegang amanah untuk menjalankan tugas sebagai pentadbir harta untuk menguruskan harta dan aset apabila puan tiada lagi.
Sebagai seorang Islam, pembahagian harta dan aset adalah mengikut pengiraan faraid, melainkan sekiranya waris-waris kesemuanya setuju supaya harta dan aset dibahagikan mengikut hasrat arwah si mati mengikut wasiat.
Sekiranya ada waris yang tidak setuju, hanya 1/3 dari jumlah harta dan aset yang boleh dibahagikan mengikut hasrat seperti di dalam wasiat. Selebihnya hendaklah dibahagikan mengikut pengiraan faraid.
Wanita nasihatkan puan untuk berjumpa dengan seorang peguam untuk mendapatkan nasihat selanjutnya. Peguam akan dapat membantu puan untuk menyediakan wasiat dan dokumen-dokumen lain supaya hak anak-anak dapat dilindungi dengan sempurna.
Bawalah senarai asset yang telah puan catatkan tadi berserta dengan salinan dokumen-dokumen harta yang berkenaan seperti geran tanah, buku akaun, ASN, ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Puan juga perlu memberikan kepada peguam sesalinan kad pengenalan puan dan anak-anak untuk rujukan peguam.

