Malaysia perlu rebut peluang digital: e-buku buka pasaran global, sumber pendapatan baharu

Dari Penulis

Industri penulisan negara sedang memasuki fasa baharu apabila semakin ramai penulis mula menerima penerbitan digital dan e-buku sebagai medium penting untuk memperluaskan capaian karya, menjana pendapatan berterusan serta menembusi pasaran antarabangsa.

Perubahan positif ini dapat dilihat menerusi Program Bual Bicara GAPENA sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang baharu melabuhkan tirainya.

Program telah membincangkan transformasi penulisan daripada buku fizikal kepada penerbitan digital dan e-buku.

Program tersebut menghimpunkan kepimpinan GAPENA, wakil persatuan penulis, penulis senior, penulis veteran, penerbit serta penggiat industri buku yang berkongsi pandangan mengenai masa depan dunia penerbitan dalam era digital.

Cabaran terbesar

Menurut panel jemputan program, Mejar Hasrul Taufek Roslan TUDM (Bersara) atau lebih dikenali sebagai Master Shiro, antara cabaran terbesar yang dihadapi industri hari ini ialah persepsi bahawa e-buku akan menggantikan buku fizikal.

“Ramai penulis mula menyedari bahawa e-buku bukan pesaing kepada buku fizikal. Kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu bergerak seiring dalam memastikan ilmu dapat disebarkan kepada lebih ramai pembaca.

“Buku fizikal kekal mempunyai nilai sentimental dan pengalaman membaca yang unik, manakala e-buku menawarkan kelebihan dari segi kos penerbitan yang lebih rendah, akses yang lebih luas, penyebaran yang pantas serta peluang pendapatan yang berpanjangan kepada penulis,” ujarnya.

Hadir sama, Presiden GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan,Timbalan Presiden, Zainal Mohd Jais Zainal Abidin, Naib Presiden, Profesor Dr. Hashim Ismail Zainal Abidin, Setiausaha Agung, Azmi Ismail Zainal Abidin dan Penolong Setiausaha Agung Ahmad Zauawi bin Che Cob. Program dikendalikan oleh Nazhatul Shima Nolan sebagai moderator.

Mejar Hasrul menjelaskan, penerbitan digital turut membuka ruang kepada karya-karya tempatan untuk menembusi pasaran global tanpa berdepan kekangan kos percetakan, penyimpanan dan pengedaran yang tinggi.

Bantuan teknologi

Tambahnya,  banyak karya yang telah diterbitkan sejak bertahun-tahun lalu mempunyai potensi untuk diterbitkan semula dalam format digital agar dapat dinikmati generasi baharu di negara ini dan luar negara.

“Penulis perlu melihat teknologi sebagai alat yang membantu memperluaskan penyebaran ilmu. Karya yang sebelum ini hanya berada di rak-rak buku kini boleh diakses oleh pembaca dari seluruh dunia hanya melalui peranti digital,” ujarnya.

Katanya penerbitan digital berpotensi mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada penulis melalui jualan berulang, pemasaran global dan penggunaan pelbagai platform digital yang semakin berkembang.

Sesi selama sejam itu turut memperlihatkan perubahan ketara dalam kalangan peserta apabila ramai penulis berpengalaman menunjukkan minat untuk meneroka penerbitan digital selepas memahami potensi sebenar e-buku.

Sambutan yang diterima selepas program juga memberangsangkan apabila beberapa organisasi dan agensi menyatakan hasrat untuk mendapatkan perkongsian lanjut berkaitan transformasi digital dalam bidang penulisan dan penerbitan.

Antara perkembangan menarik ialah minat yang ditunjukkan oleh wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang hadir untuk meneroka peluang kerjasama dalam memperkasakan budaya penulisan dan penerbitan digital dalam kalangan warga pendidik.

Menggabungkan buku fizikal dan digital.

Inisiatif sedemikian dilihat mampu membantu guru-guru menghasilkan bahan ilmu, modul pembelajaran dan karya pendidikan yang boleh diterbitkan serta diedarkan secara lebih meluas melalui platform digital.

Master Hasrul berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, landskap penerbitan negara dijangka berubah dengan lebih banyak karya diterbitkan dalam format hibrid yang menggabungkan buku fizikal dan digital.

“Persoalannya bukan lagi sama ada buku fizikal atau e-buku yang akan mendominasi pasaran. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kedua-dua platform ini dapat dimanfaatkan untuk memastikan ilmu sampai kepada seramai mungkin masyarakat.

“Penulis yang bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk meluaskan pengaruh karya mereka dan membina sumber pendapatan yang lebih mampan,” katanya.

Masa depan buku

Beliau turut menyeru komuniti penulis negara agar berani meneroka peluang baharu yang ditawarkan oleh teknologi digital tanpa mengetepikan nilai dan keistimewaan penerbitan tradisional.

“Teknologi akan terus berubah dan platform akan sentiasa berkembang namun ilmu yang ditulis, diterbitkan dan dikongsikan akan terus memberi manfaat kepada masyarakat sepanjang zaman.

“Masa depan penulisan Malaysia terletak pada keupayaan kita menggabungkan kekuatan buku fizikal dan teknologi digital demi melahirkan lebih ramai penulis. Di samping banyak karya berkualiti serta lebih luas penyebaran ilmu kepada masyarakat dunia,” katanya.

Program tersebut turut mendapat perhatian pengunjung PBAKL 2026 termasuk kehadiran Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melawat reruai dan aktiviti yang berlangsung sepanjang pesta buku berkenaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

ReGlo perkenal Skin Turnover Protocol, sistem selamat dan tidak invasif untuk pembaharuan kulit berterusan

RAWATAN yang mampu memberikan hasil yang ketara lazimnya disertai dengan iritasi, sensitiviti dan tempoh pemulihan yang lama. Manakala produk...

More Articles Like This