JEPUN terus kekal sebagai salah satu destinasi pelancongan antarabangsa paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Daya tarikan landskap budaya tradisional yang dipadankan dengan kepesatan teknologi moden, ditambah pula dengan lambakan fasiliti mesra Muslim, menjadikan gandingan bandar raya Tokyo dan Osaka sebagai laluan wajib bagi majoriti pengembara.
Bagaimanapun, merentas dua kota metropolitan utama ini sering kali mencetuskan cabaran logistik, terutamanya dari segi pengurusan masa dan pembelian tiket pengangkutan awam. Bagi mengatasi isu tersebut, penggunaan sistem kereta api berkelajuan tinggi, Shinkansen, kini menjadi pilihan utama.
Malah, proses tempahan tiket kini menjadi lebih efisien menerusi integrasi platform digital seperti Klook.
Efisiensi Shinkansen Mod Pengangkutan Utama
Perjalanan sejauh lebih 500 kilometer antara Tokyo dan Osaka hanya mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit dengan menaiki Shinkansen Nozomi. Tempoh ini nyata jauh lebih pantas dan efisien jika dibandingkan dengan pengangkutan darat lain seperti bas ekspres atau kenderaan sewa.

Selain faktor kepantasan, Shinkansen amat terkenal di peringkat global pengurusan masa yang sangat ekstrem, di mana kelewatan walaupun dalam tempoh satu minit dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa di Jepun.
Kemudahan gerabak yang menawarkan ruang kaki yang luas serta kelancaran perjalanan pada kelajuan melebihi 250 kilometer sejam memberikan keselesaan bertaraf premium kepada penumpang.
Trend tempahan secara digital kini menjadi pilihan berbanding kaedah pembelian konvensional di kaunter stesen.
Jurucakap platform pelancongan Klook menjelaskan bahawa langkah mendigitalisasikan pembelian tiket ini bertujuan untuk mengurangkan jurang bahasa dan kerumitan sistem logistik buat pelancong asing.
“Kami memahami bahawa stesen-stesen besar di Jepun amat mencabar buat pelancong luar. Oleh itu, sistem tempahan awal melalui platform kami direka untuk menjadi lebih mesra pengguna.
“Pelancong Malaysia bukan sahaja dapat menguruskan perjalanan mereka lebih awal dalam mata wang Ringgit Malaysia, malah mereka tidak perlu lagi beratur panjang untuk menebus tiket fizikal.

“Cukup sekadar mengimbas kod QR di kaunter masuk stesen untuk akses yang lebih pantas dan lancar,” menurut kenyataan tersebut.
Tip Strategik Kedudukan ‘Seat’ dan Pemandangan Gunung Fuji
Selain aspek pengangkutan, laluan kereta api ini turut menawarkan nilai estetika yang tinggi kepada pengembara. Laluan Tokyo-Osaka merentasi kawasan luar bandar Jepun yang tenang dan menawarkan peluang keemasan untuk melihat kemegahan Gunung Fuji sekiranya cuaca cerah.
Bagi memastikan pelancong tidak terlepas peluang keemasan ini, pemilihan kedudukan tempat duduk perlulah dirancang secara strategik ketika membuat tempahan.
Berdasarkan panduan logistik, pelancong yang bergerak dari Tokyo ke Osaka dinasihatkan untuk memilih tempat duduk di sebelah kanan tren.
Pemandangan Gunung Fuji kebiasaannya akan mula kelihatan dengan jelas sekitar 40 hingga 50 minit selepas waktu pelepasan.
Sebaliknya, bagi perjalanan pulang dari Osaka ke Tokyo, kedudukan tempat duduk di sebelah kiri adalah yang paling ideal.
Pengembaraan pada waktu awal pagi, terutamanya ketika musim sejuk, menawarkan peratusan kebarangkalian yang lebih tinggi untuk melihat puncak gunung tersebut disebabkan faktor langit yang lebih cerah dan kurang berkabut.

Klook turut menyarankan penumpang memilih tempat duduk berhampiran tingkap dan mengelakkan bahagian tengah gerabak bagi mengelakkan gangguan visual daripada penumpang lain.
Klasifikasi Gerabak dan Regulasi Bagasi Baharu
Bagi pengembara yang mengutamakan privasi dan keselesaan gred tinggi, Klook turut menawarkan pilihan untuk menaik taraf tiket kepada Green Car (Kelas Premium).
Kelas ini dilengkapi dengan kerusi ergonomik yang lebih empuk, ruang rehat yang lebih luas, soket kuasa peribadi, serta suasana gerabak yang lebih senyap—amat sesuai buat pelancong yang membawa warga emas atau kanak-kanak.
Meskipun sistem pengangkutan Jepun amat efisien, pelancong diingatkan untuk peka terhadap peraturan ketat mengenai bagasi besar.
Sebarang beg pakaian yang mempunyai jumlah dimensi (panjang + lebar + tebal) melebihi 160 sentimeter wajib didaftarkan bersama tempahan ruang bagasi khas.
Langkah terbaik adalah dengan menempah tempat duduk di barisan paling belakang gerabak, yang secara automatik memberikan akses kepada ruang storan di belakang kerusi tersebut.
Secara keseluruhannya, perancangan awal menggunakan aplikasi digital terbukti mampu meminimumkan impak stres ketika bercuti. Dengan menguasai kaedah tempahan yang betul, pengurusan bagasi yang bijak, serta pemilihan waktu perjalanan yang strategik, ekspedisi merentasi dua bandar raya terbesar Jepun ini pastinya akan menjadi lebih sistematik dan menyeronokkan.

