TH Tebrau Land Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Teguh Harian, hari ini melancarkan Monterra, sebuah pembangunan bersepadu bercampur bernilai RM941 juta di Tebrau, menandakan pembangunan kedua syarikat itu di Johor Bahru selepas kejayaan pelaksanaan dan penyerahan One49 Residence.
Sejak pra-pelancarannya pada April 2026, kadar pengambilan projek ini telah mencecah 80%.
Terletak secara strategik kira-kira lima kilometer dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Monterra direka sebagai pembangunan bandar bersepadu yang merangkumi 1,565 unit apartmen servis, sebuah pusat beli-belah, 60 lot runcit dan hab komersial tiga tingkat yang menempatkan ruang perniagaan dan sebuah pusat perubatan khusus.
Komponen kediamannya menampilkan susun atur unit yang fleksibel bagi memenuhi pelbagai keperluan pembeli, membolehkan pembeli mengkonfigurasi unit-unit terpilih sama ada untuk didiami sendiri atau sebagai pelaburan.
Manfaat jangka masa panjang
Konsep ini mencerminkan perubahan keutamaan pasaran yang semakin menghargai kediaman yang boleh disesuaikan dengan keperluan gaya hidup dan objektif pelaburan yang berbeza dari semasa ke semasa.
Pelancaran Monterra berlangsung ketika Johor terus meraih manfaat daripada pelaburan infrastruktur, peningkatan kesalinghubungan rentas sempadan serta pelaksanaan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka memperkukuh pertumbuhan dan daya saing negeri ini dalam jangka panjang.
Selain komponen kediamannya, elemen runcit bersepadu Monterra dijangka meningkatkan tahap kemudahan dan keselesaan kepada penduduk serta komuniti sekitar.
Pembangunan ini telah berjaya mendapatkan Cold Storage sebagai penyewa utama, manakala penyewa runcit lain dijangka memulakan operasi secara berperingkat selaras dengan penyerahan fasa pertama projek yang disasarkan pada tahun 2029.
Pembangunan strategik
Berucap di majlis pelancaran itu, Pengerusi Kumpulan Teguh Harian, Peh Lian Hwa berkata, perubahan keutamaan dan jangkaan pembeli terus pemacu permintaan terhadap pembangunan yang menawarkan kemudahan, kesalinghubungan dan nilai jangka panjang dalam lokasi bandar yang matang.
“Pembeli hari ini tidak lagi menilai sesebuah hartanah berdasarkan unit kediaman semata-mata. Sebaliknya, mereka semakin mengutamakan faktor seperti lokasi, aksesibiliti dan kualiti persekitaran sekeliling.
“Mereka juga mencari lebih fleksibiliti dalam aspek memanfaatkan hartanah sebagai tempat kediaman mahupun aset pelaburan yang mampu menjana nilai dalam jangka panjang.
“Monterra dirancang dengan mengambil kira faktor-faktor tersebut. Selain menawarkan kediaman, ruang runcit dan komersial, pembangunan ini turut menyediakan fleksibiliti, kemudahan serta kesalinghubungan dalam sebuah persekitaran bandar yang matang.
“Kami kekal yakin dengan prospek pertumbuhan jangka panjang Johor. Penambahbaikan infrastruktur yang berterusan, hubungan yang semakin kukuh dengan Singapura serta peningkatan aktiviti ekonomi dijangka terus merangsang permintaan terhadap pembangunan strategik yang mampu memenuhi keperluan penduduk, perniagaan dan pelabur yang sentiasa berubah,” katanya.
Menyumbang pertumbuhan
Monterra memperkukuhkan lagi kehadiran TH Tebrau Land di Johor Bahru dan mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan ini dalam membangunkan projek yang memenuhi keperluan pasaran, disamping menyumbang kepada pertumbuhan berterusan koridor Tebrau.
Dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2030, Monterra dijangka merancakkan penawaran baharu dalam segmen kediaman, runcit dan komersial di koridor Tebrau, sekali gus menyokong evolusinya sebagai salah satu pusat bandar utama di Johor Bahru.
Sebagai info, TH Tebrau Land Sdn Bhd merupakan syarikat di bawah Kumpulan Teguh Harian, sebuah pemaju hartanah Malaysia yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam membangunkan projek kediaman, komersial dan pembangunan bandar bersepadu.
Kumpulan ini telah Berjaya membangunkan pelbagai projek di seluruh Malaysia Utara, termasuk Star City Alor Setar.
Ditubuhkan pada 9 April 2012, TH Tebrau Land diwujudkan bagi menerajui pengembangan strategik Kumpulan ke Johor Bahru dan sejak itu telah memperkenalkan beberapa pembangunan penting di kawasan tersebut, termasuk one49 Residence di Tebrau.

