Band rock popular England, Muse memilih Malaysia sebagai satu-satunya destinasi persinggahan di rantau Asia menerusi konsert jelajah dunia, The Will of The People’ TOUR 2023 pada 29 Julai depan.
Pengumuman itu dibuat oleh penganjur Hello Universe di Zepp KL. Ketua Pegawai Eksekutif Hello Universe, Adam Ashraf berkata, pihaknya teruja apabila kumpulan popular itu memilih Malaysia sebagai destinasi eksklusif.
“Kami sangat berbesar hati akhirnya dapat mengumumkan bahawa ‘Will of The People’ one night only special for Asia, akan diadakan di Malaysia.
“Dengan mengadakan konsert dan festival, ia secara tidak langsung merupakan cara terbaik bagi membantu membaikpulih serta merangsangkan ekonomi negara yang terjejas berikutan oleh pandemic yang melanda sebelum ini. Selain daripada menarik kehadiran pelancong asing, kami juga dapat menyumbang kepada aktiviti untuk penduduk tempatan,” ulasnya.
Konsert jelajah ini mensasarkan antara 60,000 hingga 100,000 kapasiti peminat, walau bagaimanapun lokasi konsert akan diumumkan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, konsert Muse yang terakhir di Asia adalah pada tahun 2019 di mana berlangsungnya Singapore Grand Prix, yang juga merupakan sebahagian dari jelajah konsert ‘Teori Simulation’.
Tiket berharga antara RM350 hingga RM900 boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my mulai 3 Mac depan.

