PENJAWAT awam diminta bersabar dan memberi sedikit masa kepada kerajaan mengukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menyemak semula isu berhubung kenaikan gaji yang disuarakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan gaji penjawat awam pada masa ini akan meningkatkan defisit negara.
Walaupun bersetuju secara prinsip, namun Perdana Menteri menjelaskan, negara ketika ini berhadapan hutang mencegah RM1.5 trilion dan defisit pada 5.6 peratus.
Justeru, beliau berkata, kerajaan tidak boleh bersetuju dengan tuntutan Cuepacs dalam Belanjawan 2023.
“Cuepacs minta kaji semula gaji (penjawat awam) supaya ditambah. Saya setuju pada prinsipnya tetapi saya terangkan mengenai pendekatan yang dilakukan sebelumnya.
“Apa masalah kita? Kita hutang RM1.5 trilion dan defisit 5.6 peratus. Kalau kita menambah gaji, defisit akan menjadi 6.5 peratus… tiada orang hendak datang melabur di negara ini kerana tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.
“Jadi, sabarlah sekejap,” katanya seperti dilapor BH Online.
Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2023: Cuepacs kecewa tiada kenaikan gaji
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah Yang Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Malaysia Madani, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambung berkata, kerajaan bagaimanapun masih cuba berkongsi sedikit hasil negara dengan penjawat awam melalui Belanjawan 2023.
Namun, beliau menekankan, tumpuan kerajaan ketika ini adalah menyelamatkan golongan miskin tegar yang berdepan kesusahan untuk meneruskan hidup.
“Apakah tidak penting untuk kita selamatkan orang miskin tegar yang lebih teruk daripada semua pekerja yang ada?
“Saya hendak beritahu, ia tidak mudah. Pesawah padi, pekebun kecil getah… ini semua orang susah… nelayan dan kemiskinan tegar. Bagi saya, mereka nak hidup pun susah. Kita sekurang-kurangnya hidup susah, dia nak hidup pun susah,” katanya.
Jumaat lalu, Cuepacs menyatakan rasa kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang tidak menyentuh tentang kenaikan gaji kakitangan awam.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, Belanjawan 2023 dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

