BEKALAN ayam dan telur diunjurkan stabil bagi suku pertama tahun ini dengan kedua-dua produk makanan itu mempunyai lebihan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan ayam menyaksikan purata lebihan sebanyak 16,846,447 ekor sebulan berbanding keperluan 75,004,487 ekor bagi tempoh sama.
Menurut beliau, purata lebihan bekalan bagi telur pula berjumlah 119,856,950 biji telur sebulan berbanding keperluan 1,004,506,942 biji telur.
Bagi memperkasakan sektor tersebut, Mohamad memaklumkan kementerian itu melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang untuk mengukuhkan keterjaminan makanan bagi bekalan ayam serta telur.
“Langkah jangka pendek yang diambil adalah memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur untuk membantu mengatasi kenaikan kos pengeluaran mulai 5 Februari 2022 sehingga 31 Disember 2022.
“Sehingga 15 Februari 2023, sebanyak 18,880 permohonan bernilai RM1.69 bilion subsidi telah diluluskan kepada penternak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan situasi terkini pasaran atau sektor ayam dan telur di Malaysia.
Baca artikel berkaitan: Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun 2023
Pada masa sama, Poay Tiong turut bertanyakan langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memperkasakan sektor itu bagi mengukuhkan keterjaminan makanan.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, dua lagi langkah jangka pendek yang dilaksanakan adalah membenarkan pengimportan telur dari luar negara mulai Disember 2022 dan membenarkan pengimportan anak ayam (DOC) atau telur bernas dari Brazil, New Zealand, Perancis dan Australia bagi memastikan stok pengganti ayam penelur mencukupi.
Bagi langkah jangka panjang pula, Mohamad berkata, kementerian itu berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada sumber jagung import sebanyak 30 peratus menerusi inisiatif penanaman jagung bijian dalam negara yang berkeluasan sehingga 80,000 hektar dengan sasaran pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 1.44 juta tan metrik menjelang tahun 2032.
Selain itu, kementerian tersebut juga akan menjalankan kajian bagi menghasilkan bahan mentah gantian daripada sumber tempatan berasaskan isirung sawit seperti PKC dan PKE.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga akan melaksanakan kajian bagi makanan ternakan ayam berasaskan sumber alternatif larva Black Soldier Fly (BSF) di bawah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Kementerian juga menawarkan pinjaman mudah melalui Agrobank sebanyak RM300 juta kepada penternak ayam melalui Dana Pembiayaan Agromakanan untuk membantu penternak mengatasi masalah modal pusingan kewangan yang terjejas akibat kenaikan kos pengeluaran,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

