“SEMASA belum ada kuasa, kita uji kerajaan dengan mengkritik mereka. Bila kita berkuasa, kita pula diuji dengan integriti kita.”
Demikian kata Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran memperingati kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), hari ini.
Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, cabaran selepas diberi amanah untuk mentadbir negara sangat besar.
“Masa jadi pembangkang, kita bercakap soal idealisme, keadilan dan harapan rakyat.
“Tetapi bila diberi amanah mentadbir negara, cabarannya jauh lebih besar. Kita bukan sahaja diuji dari sudut kemampuan mentadbir, tetapi juga diuji dengan kejujuran, prinsip dan kesetiaan kepada perjuangan asal,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan turut diuji sama ada masih mahu mendengar suara rakyat ketika berada di tampuk kuasa.
Bagi beliau, sejarah 11 Mei 2018 bukan sekadar tentang kemenangan politik.
Katanya, ia adalah peringatan bahawa mandat rakyat datang bersama amanah yang sangat besar.
“Perjuangan sebenar bukan hanya untuk mendapatkan kuasa, tetapi bagaimana kuasa itu digunakan dengan penuh integriti demi rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

