PEMBANGUNAN negara tak boleh tertumpu di bandar semata-mata, kampung-kampung juga mesti dapat perhatian, kemudahan dan peluang ekonomi yang lebih baik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini khususnya para petani, pesawah, nelayan, penternak dan pekebun kecil yang banyak berjasa memastikan bekalan makanan negara sentiasa terjamin.
Pada masa sama, katanya, dalam keadaan ekonomi dunia yang tak menentu, kerajaan akan terus memantau isu keterjaminan makanan termasuk bekalan beras, ayam dan telur agar rakyat tidak terlalu terbeban.
“Bang Mat juga nak pesan, sama-samalah kita berjimat cermat, elakkan pembaziran makanan dan tak perlu lakukan pembelian panik,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Guar Petai.
Program hari ini turut dimeriahkan dengan kenduri rakyat serta Jualan Agro MADANI yang menawarkan harga barangan lebih murah sehingga 30 peratus bagi membantu rakyat mendapatkan keperluan harian pada harga berpatutan.
Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 kepada golongan memerlukan, manakala Jabatan Pertanian mengagihkan 500 anak pokok kepada penduduk kampung bagi menggalakkan aktiviti tanaman makanan di peringkat isi rumah.
“Insya-Allah Bang Mat dan kerajaan akan terus bekerja kuat supaya manfaat pembangunan bukan sahaja dirasai di bandar, tetapi sampai terus ke kampung-kampung seluruh negara,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

