JIKA si gempal menghadapi kesukaran mencari busana bersesuaian dengan tubuh badan mereka, si kecil molek juga tidak terkecuali. Jom! kita intai tip dan trik dalam berfesyen bagi golongan genit ini.
1.Satu Warna
Pilih busana dari rona yang sama atau lebih mudah lagi hanya satu warna dari atas hingga ke bawah. Bagi menutup kekurangan terutama ketinggian, padankan seluar atau jegging yang senada dengan warna baju. Antara warna yang sesuai ialah warna-warna gelap seperti hitam, hijau pekat, ungu dan biru garang.
2.Sesuai Dengan Tubuh Badan
Agar tidak nampak canggung, pilih busana yang sesuai dengan tubuh badan. Elakkan memakai baju yang terlalu besar kerana anda hanya akan kelihatan pelik atau mungkin orang akan berkata baju tersebut sebagai ‘baju pinjam’.
3.Garisan Menegak
Sentiasa memilih busana yang mempunyai jalur atau garisan yang menegak. Tidak semestinya anda memakai pakaian yang bercorak belang menegak. Memadai mempunyai potongan menegak yang halus dan menampakkan tubuh genit anda menjadi sedikit tinggi.

4.Berkolar V
Pilihlah top mahupun jaket yang berkolar V atau bentuk U.Bentuk kolar baju seperti ini dapat memberi ilusi terhadap bentuk leher agar nampak lebih jinjang.

5.Kasut Tumit Tinggi
Ia merupakan jalan penyelesaian yang paling ideal untuk menambah ketinggian. Ingat! Jangan memakai kasut yang terlalu tinggi kerana menampakkan anda terlalu mencuba untuk nampak tinggi.
Elakkan juga memakai kasut pump, gladiator mahupun kasut silang yang terlalu banyak tali kerana ia akan menampakkan kaki kamu lebih pendek.

6.Fabrik Bertekstur
Elakkan daripada memilih pakaian yang diperbuat dari fabrik bertekstur dan besar kerana ia boleh menampakkan anda lebih pendek. Ilusi tinggi bukan sahaja terhapus tetapi anda juga akan nampak gemuk. Jika memilih sweater atau baju sejuk, pilihlah fabrik yang nipis dengan rekaan V shape bagi menyerlahkan ketinggian anda.
7.Tas Tangan Besar
Cuba elakkan memakai tas tangan yang terlalu besar yang boleh menyebabkan hijabi genit nampak lebih pendek. Pilihan terbaik adalah dengan memilih tas tangan yang sederhana namun nampak elegan dengan bentuk badan anda.

8.Pemakaian Aksesori
Elemen aksesori perlu dititik beratkan kerana ia mampu mengubah penampilan seseorang dalam sekelip mata. Elakkan daripada memakai baju yang dipenuhi corak sarat serta hiasan seperti labuci ataupun manik.
9.Tali Pinggang Halus
Pilih tali pinggang yang bersaiz halus kerana jika anda memilih tali pinggang yang lebar dan besar ia akan memotong separuh figura badan anda. Sekali gus anda akan nampak lebih pendek daripada asalnya.
10. Celana Potongan Lurus
Pilih celana yang mempunyai potongan lurus. Elakkan memakai celana yang mempunyai poket yang banyak, lipatan serta mempunyai butang pada hujung seluar.

