Polis siasat lelaki aniaya anak monyet

Dari Penulis

Polis menjalankan siasatan terhadap seorang moderator kandungan aplikasi media sosial yang dipercayai menganiaya seekor anak monyet sehingga mati.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan ke atas lelaki berusia 37 tahun itu daripada orang awam pada 11.25 pagi 20 Jan lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati haiwan malang itu telah dianiaya dengan cara dipukul, dicacatkan dan dibakar pada bahagian kaki serta tangan.

“Hasil siasatan membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Setia Alam dan turut menemukan beberapa perkakas dan peralatan serta sebuah telefon bimbit mengandungi gambar haiwan tersebut.

“Suspek telah dirakam percakapan dan tiada sebarang penahanan dibuat kerana kes itu tidak lazim ditangkap,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Baca : Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

Mohd Iqbal juga berkata empat saksi dipanggil bagi membantu siasatan setakat ini.

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Perundangan Negeri Selangor dan diedarkan ke Jabatan Peguam Negara untuk kajian pada 2 serta 22 Feb lepas.

“Arahan daripada Jabatan Peguam Negara pada 23 Feb lepas adalah supaya siasatan diteruskan untuk mendapatkan laporan hasil analisis daripada pihak forensik bagi telefon bimbit milik suspek yang dirampas.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Anis Shafika Muhamad Adilah di talian 011-1095 1310.

— BERNAMA

Monday , 06 March 2023


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Had usia 16 tahun: Kawal selia ditetapkan, elak pengesahan umur dimanipulasi

BEBERAPA langkah kawal selia telah ditetapkan termasuk pengesahan umur yang mesti disokong rekod rasmi kerajaan dan bukan sekadar pengisytiharan...

More Articles Like This