Had usia 16 tahun: Kawal selia ditetapkan, elak pengesahan umur dimanipulasi

Dari Penulis

BEBERAPA langkah kawal selia telah ditetapkan termasuk pengesahan umur yang mesti disokong rekod rasmi kerajaan dan bukan sekadar pengisytiharan sendiri, susulan penguatkuasaan had usia 16 tahun bagi akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bagi memastikan mekanisme pengesahan umur tidak dimanipulasi.

Selain itu katanya, Pemberi Perkhidmatan Media Sosial perlu melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam bentuk reka bentuk (safety by design) serta mempertingkat perlindungan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak.

“Semua proses tertakluk kepada keperluan perlindungan data dan had penggunaan maklumat selain tindakan kawal selia dan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang.

“Ini termasuk penalti kewangan boleh dikenakan ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai bagaimana kementerian memastikan penyedia perkhidmatan berlesen hanya diberikan akses kepada ciri-ciri data peribadi yang terhad dan berkadar.

Fahmi berkata, kanak-kanak merupakan golongan yang lebih terdedah kepada risiko dalam talian kerana masih berada dalam fasa perkembangan kognitif, emosi dan sosial.

Jelas beliau, peningkatan akses kepada kandungan, interaksi dan sistem algoritma digital telah mewujudkan pelbagai risiko termasuk pendedahan kepada kandungan memudaratkan, eksploitasi dalam talian serta penggunaan platform secara berlebihan.

“Sehubungan dengan itu, perlindungan dalam talian yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan umur adalah penting bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak terus terpelihara dalam persekitaran digital.

“Keperluan untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian turut menjadi keutamaan di peringkat antarabangsa.

“Beberapa negara seperti Australia, Brazil dan Indonesia telah memperkenalkan keperluan pengesahan umur serta langkah reka bentuk perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur bagi mengurangkan risiko kemudaratan dalam talian kepada kanak-kanak,” katanya.

Persekitaran dalam talian lebih selamat

Beliau menambah, pendekatan ini mencerminkan trend global ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur, di samping memastikan hak serta kepentingan terbaik kanak-kanak terus dilindungi.

Katanya, selaras dengan perkembangan tersebut, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan CPC dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) pada 22 Mei yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].

Kod-kod ini jelasnya, bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian.

“Obligasi di bawah kod-kod tersebut terpakai kepada Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) berlesen (Pemberi Perkhidmatan Berlesen) di bawah Akta 866.

“Di bawah CPC, Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur (age verification) dan bukannya pengesahan identiti (identity verification) bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum yang ditetapkan.

“Pengguna yang telah mencapai umur 16 tahun dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala individu di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial sehingga mencapai umur yang ditetapkan,” katanya.

Jelas Fahmi , pelaksanaan pengesahan umur ini bukanlah bertujuan untuk menghalang atau melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial secara kekal.

Sebaliknya menurut beliau, ia untuk menangguhkan pemilikan akaun media sosial sehingga mereka mencapai umur 16 tahun dan mempunyai tahap kematangan yang lebih sesuai bagi menggunakan platform tersebut secara selamat dan bertanggungjawab.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This