KERAJAAN mengambil pendekatan jangka panjang bagi memastikan keselamatan sumber air di Johor terus terjamin selaras dengan pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik termasuk pusat data.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah pengambilan air mentah di Johor pada masa ini adalah sebanyak 2,052 juta liter sehari (JLH).
Dalam hubungan ini, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air di negeri tersebut.
“Ia dilakukan melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk cadangan pembangunan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj dan infrastruktur penyaluran air mentah.
“Selain memperkukuh sumber air mentah, kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan peningkatan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat.
“Ini berdasarkan unjuran permintaan semasa dan masa hadapan bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disediakan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kapasiti sumber air negeri termasuk pembinaan empangan, loji rawatan air dan penggunaan air kitar semula bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Fadillah memberitahu, pada masa yang sama, sebanyak empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kapasiti bekalan air terawat di negeri Johor.
Kerjasama strategik IWK, JSW
Kerajaan katanya, turut melihat air pulih guna sebagai salah satu komponen penting dalam strategi jangka panjang keselamatan air, khususnya bagi sektor industri yang mempunyai keperluan penggunaan air yang tinggi seperti pusat data.
“Pendekatan ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat dan mengoptimumkan penggunaan sumber air sedia ada secara lebih mampan.
“Sebagai contoh, melalui kerjasama strategik antara Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW), sebanyak 12 JLH air pulih guna berkualiti tinggi kini dibekalkan bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data di Johor,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini menunjukkan bahawa sumber air alternatif berpotensi memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan industri tanpa menjejaskan keutamaan bekalan air kepada rakyat.
“Melalui gabungan pembangunan sumber air baharu, peningkatan kapasiti sistem bekalan air, pembangunan loji rawatan air dan penggunaan sumber air alternatif, Kerajaan yakin keperluan bekalan air Johor akan terus dapat dipenuhi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat pada masa hadapan,” katanya.

