PELAKON Hannah Delisha sedar tindakannya bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam mana-mana drama lakonannya setelah memilih untuk berhijab sejak tiga tahun lalu, salah di sisi agama Islam.
Tegas Hannah atau Hannah Adlina Blackburne Birch,27, sebagai pelakon sukar untuk dia mengelak dari melakonkan adegan bersentuhan kerana kerjaya lakonan adalah punca rezekinya buat keluarga.
“Saya tahu apa yang saya buat iaitu bersentuhan dengan lelaki ketika berlakon itu salah.
“Saya tahu hukumnya tapi ini adalah kerja saya iaitu berlakon. Malah, saya juga ada bercakap dan berbincang mengenai perkara ini dengan suami.
“Tapi sejujurnya, sukar untuk saya nak elak daripada bersentuhan. Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai seorang pelakon untuk menjayakan sesuatu watak,” katanya kepada URTV.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaharu lakonannya iaitu Andai Itu Takdirnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai drama tersebut, Hannah yang memegang watak sebagai Aleya bergandingan bersama aktor Syukri Yahaya itu menceritakan tentang kisah keganasan rumah tangga.

Justeru kata Hannah, drama berkenaan memaparkan banyak adegan kekasaran seperti pukul yang sudah semestinya menuntut pelakon untuk bersentuhan.
“Drama ini banyak aksi pukul memukul. Agak sukar untuk saya elak daripada bersentuhan dengan pelakon lelaki sebab watak saya dalam cerita ini pun ialah sebagai seorang isteri.
“Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan menyampaikan watak Aleya dengan baik.
“Saya tahu salah sebab bersentuhan dengan pelakon lelaki tetapi inilah kerja saya.
“Saya pun akan tanya dulu dengan pelakon lelaki jika mereka selesa untuk bersentuhan atau pun tidak. Itu pun jika ada babak yang perlukan kami bersentuhan, saya akan tanya dulu,” ungkapnya.

Selain Hannah dan Shukri Yahaya, drama Andai Itu Takdirnya arahan Jamal Khan itu turut dibintangi oleh Puteri Sarah Liyana, Idzham Ismail, Dayang Areeda, Aida Khalida, Zulkifli Ismail dan ramai lagi.
Drama tersebut akan mula ditayangkan pada 6 Mac, pukul 10 malam di Astro Ria (104).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

