[VIDEO] Wani Kayrie bangkit dengan Fajar

Dari Penulis

BERWAJAH cantik, berbakat dan pintar dalam bidang akademik, penyanyi wanita kelahiran Sandakan, Sabah, Wani Kayrie kembali menyemarakkan tirai 2023 dengan single terbaharunya berjudul Fajar.

Fajar merupakan hasil ciptaan barisan komposer terkenal tanah air seperti Shazee Ishak, Audi Mok serta Tysha Tiar dan diterbitkan oleh label hiburan yang tidak asing lagi, Rocketfuel Entertainment.

Kali terakhir Wani muncul dengan single terbaharu adalah kira-kira setahun yang lalu melalui lagu Kamu Kamu.

“Jadual belajar saya pada ketika itu agak padat kerana semester panjang. Pada masa sama, saya juga banyak menerima tawaran untuk berlakon drama.

“Dan yang terkini, saya baharu sahaja tamat dengan penglibatan dalam sebuah program televisyen realiti Famili Duo bersama Bella Astillah di mana kami berjaya meraih tempat ketiga.

“Syukur Alhamdulillah rancangan tersebut telah membuka mata ramai orang di luar sana yang dapat melihat kebolehan saya dalam menyanyikan pelbagai lagu dengan genre yang berbeza.

“Banyak yang saya pelajari melalui program tersebut terutamanya dari segi kemahiran vokal, idea untuk konsep sesebuah persembahan dan pembaharuan gubahan lagu asal ke genre yang berbeza dalam masa yang singkat,” katanya.

Ingin lari dari kebiasaan, Wani mahu mencabar kemampuan dirinya sebagai penyanyi dengan mencuba sesuatu yang baharu.

“Idea di sebalik genre untuk single ketiga ini datangnya daripada saya sendiri kerana mahukan kelainan yang lebih kepada menonjolkan kemampuan vokal.

“Lagu Fajar menceritakan tentang ‘cahaya’ yang membawa maksud sebuah pengharapan buat setiap insan untuk terus melangkah dalam hidup meskipun menerima banyak ujian dan dugaan.

“Saya percaya setiap perkara yang berlaku dalam hidup ada hikmahnya dan ‘cahaya’ itulah yang menjadi sumber kekuatan setiap insan dalam mencari hala tuju hidup yang sebenar tanpa menoleh kebelakang serta tidak mengulangi kesilapan masa lalu yang menjadi sejarah hitam,” ujarnya.

Karya istimewa dalam nuansa balada ini jelas kedengaran moden dengan elemen muzik elektronik yang menambah keunikan penciptaannya sesuai dengan halwa telinga pendengar masa kini yang mahukan sesuatu yang segar dan baharu.

“Proses rakaman hanya memakan masa selama sehari sahaja. Senang bekerja dengan abang Audi Mok kerana beliau pernah menulis lagu untuk saya sewaktu berumur 17 tahun berjudul Aku Suka Kamu.

“Abang Audi juga tahu kebolehan vokal saya dan mudah untuk kami mengembangkan idea semasa rakaman lagu Fajar ini. Banyak juga yang saya pelajari bersama komposer lain, abang Shazee Ishak antaranya memberi idea untuk penambahan ‘ad-lib’, penambahbaikan lagu dan selalu berpesan untuk menyanyi dengan hati yang ikhlas kerana baharulah mesej yang cuba disampaikan lebih terkesan dan tidak bergantung hanya pada nyanyian teknikal sahaja,” tambah Wani lagi.

Sebagaimana lazimnya, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan dengan jalan cerita yang unik.

“Ibarat mengimbau masa silam. Tiga kisah yang berbeza dengan individu yang berbeza sedang bergelut dengan masalah yang dihadapi namun perlu membuat pilihan sama ada ingin terus menyalahkan diri sendiri atas kekhilafan atau pasrah menerima setiap takdir yang tertulis dengan reda.

“Saya berharap agar setiap pendengar dapat menerima lagu ini dengan hati yang terbuka dan selamilah setiap bait-bait liriknya yang membawa ‘seribu satu’ makna dalam kehidupan kita semua kerana ada pengajarannya di situ,” luahnya.

Wani yang kini dalam persediaan menjalani latihan praktikal atau ‘internship’ selama enam bulan bagi menyempurnakan semester akhir jurusan Undang-Undang dan Perdagangan di universiti berkata.

Fajar boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Demi keselesaan peminat, konsert Homecoming Ella berpindah ke Setia Spice Arena pada 22 Ogos depan

BERITA baik buat pencinta muzik rock tanah air dan peminat tegar Ratu Rock Negara! Konsert berskala besar yang paling...

More Articles Like This