PELAKON Hafidz Roshdi ditahan polis bagi membantu siasatan kes mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri dengan cara menumbuk sebanyak tiga kali di muka sehingga menerima 10 jahitan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa pelakon berusia 29 tahun telah hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam sekitar pukul 12 tengah hari.
Menurut Hussein, Hafidz bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberikan keterangan pada hari sama.
“Setakat ini, polis dah ambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek.
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Hafidz Roshdi sudah failkan cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam
“Ada kemungkinan polis akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut pada hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, pihaknya akan mendapatkan surat perintah mahkamah sementara pada esok hari bagi menghalang pelakon berkenaan mendekati mangsa sementara siasatan sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hafidz didakwa menumbuk muka Nurul Shuhada pada 2 Mac lalu di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh selepas berlaku pertengkaran di antara mereka.
Disebabkan insiden itu, Nurul Shuhada yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu menerima 10 jahitan dan kesan itu telah meninggalkan parut kekal pada wajahnya.
Hafidz dan Nurul Shuhada bernikah pada 30 April 2016 dan memiliki dua anak iaitu Humairah,6, dan Umar berusia dua tahun.

