Ibadah merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia. Ia menjadi penghubung antara hamba dengan Allah S.W.T. dan merangkumi semua kegiatan manusia dari segi rohani dan jasmani. Perkara asas yang menjadi syarat sesuatu amalan itu dikira sebagi ibadah ialah adanya aspek kepatuhan kepada Allah dan Rasul Nya dan pelaksanaannya hendaklah dengan niat kerana Allah serta tidak terkeluar daripada peraturan yang ditetapkan oleh syarak.
Tujuan pelaksanaan ibadah tidak lain bagi memenuhi matlamat penciptaan manusia sepertimana yang disebut dalam firman Allah S.W.T. dalam surah az-Zariyat: 56,
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada Ku”
Pengertian ibadah
Dari segi bahasa ibadah bermakna merendah diri, tunduk, patuh, taat dan memperhambakan diri kepada yang lain. Manakala dari segi syaraknya pula bererti taat, patuh, serta merendah diri sepenuhnya kepada Allah, mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Kepatuhan ini perlu dilaksanakan secara berterusan setiap masa sehingga akhir hayatnya sebagai manifestasi tunduk dan cinta kepada Allah S.W.T.
Ciri-ciri ibadah
Ibadah yang dilakukan setiap orang muslim mempunyai ciri-ciri tertentu yang mana ia membezakan antara ibadah dengan adat juga membezakan antara ibadah orang Islam dengan bukan Islam. Antara ciri-cirinya ialah,
- Perhubungan manusia dengan Allah adalah secara terus tanpa memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran agama lain
- Sesuatu amalan ibadah itu tidak terbatas di tempat-tempat tertentu. Di mana sahaja boleh dilakukan
- Ibadah yang dilakukan meliputi semua aspek kehidupan dengan syarat-syarat tertentu iaitu selaras dan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Ia juga dilakukan dengan niat kerana Allah dan dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang ditentukan serta mengutamakan ibadah yang wajib.
Pembahagian ibadah
Ibadah terbahagi kepada 2 bahagian iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusus melibatkan perhubungan antara manusia dengan Allah. Dilaksanakan bagi menghampirkan diri dengan Allah dan terbahagi pula kepada dua iaitu wajib dan sunat.
Ibadah wajib adalah ibadah yang mesti dilakukan oleh setiap muslim yang mencukupi syarat-syaratnya tanpa ada pengecualian. Ibadah yang dilakukan mestilah sempurna mengikut syarat yang ditetapkan agar diterima Allah. Antaranya adalah ibadah solat, puasa di bulan Ramadan, dan haji. Manakala ibadah sunat adalah ibadah yang diberi kelonggaran bagi sesiapa jua yang ingin menambah ganjaran pahala, tidak wajib dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan antaranya seperti sedekah, puasa sunat, dan lain-lain.
Adapun ibadah umum pula iaitu segala urusan kehidupan yang melibatkan hubungan sesama manusia dan makhluk lain. Dilaksanakan secara ikhlas kerana Allah dengan menepati syarat-syaratnya. Ibadah umum juga dibahagikan kepada 2 iaitu ibadah umum wajib dan ibadah umum sunat.
Antara ibadah umum wajib seperti memberi nafkah kepada ahli keluarga (suami kepada isteri dan tanggungannya) atau menjaga maruah dan keselamatan keluarga. Manakala ibadah umum sunat ialah menghubungkan silaturrahim, memelihara tutur kata dan berlaku baik kepada semua makhluk. Wallahu a’lam.
_______________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

